Piala Cabaran: Sabah raih kelebihan selesa

Piala Cabaran: Sabah raih kelebihan selesa

Piala Cabaran: Sabah raih kelebihan selesa
PEMAIN Sabah FC, Fergus Tierney (kiri) menanduk bola ketika menentang PDRM FC dalam aksi Piala Cabaran MFL 2026 di Stadium Likas. FOTO MOHD ADAM ARININ

Kota Kinabalu: Sabah FC mendapat kelebihan agak selesa untuk meneruskan aksi Piala Cabaran setelah menundukkan PDRM FC 2-0 pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Likas, sebentar tadi.

Kedua-dua jaringan terhasil pada separuh masa kedua selepas tuan rumah gagal dalam cubaan demi cubaan yang dihasilkan pemainnya pada akhir babak pertama permainan.

Gol pembukaan 1-0 dihasilkan melalui sepakan jarak jauh bola tinggi pemain pertahanan Sabah, Dane James Ingham yang tidak disangka-sangka jatuh ke dalam gawang PDRM pada minit ke-53.

Jaringan itu kemudian disusuli gol kedua oleh penyerang Sabah, Fergus Tierney pada minit ke-57 selepas bola terlepas dari tangan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun ketika berlaku kekecohan di depan gawang.

Menariknya, Tierney berjaya melakukan jaringan berkenaan selepas melakukan empat atau lima cubaan hampir menjaringkan gol sepanjang babak pertama perlawanan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Dr Asyraf Turun Padang Santuni Warga Gerik


Skuad Sang Badak sebelum itu berhempas-pulas mendapatkan gol pembukaan bermula pada pertengahan minit babak pertama selepas mendapat rentak yang baik menentang pasukan lawan.

PDRM pada awalnya kelihatan berbahaya buat Sabah apabila tampil dengan serangan berbahaya sejak minit pertama sebelum tuan rumah dapat membaca gerakan dan mula mengatur serangan balas.

Lebih malang, pemain pertahanan PDRM, Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli dilayangkan kad kuning selepas mengasari Tierney ketika berlaku kekecohan di tengah padang pada minit ke-25.

Sabah hampir menambah jaringan ketiga selepas diberi sepakan penalti pada minit ke-73 apabila penyerangnya, Darren Lok dijatuhkan pemain tengah PDRM, Muhammad Fakhrul Azim di kawasan kotak penalti.

Bagaimanapun, sepakan penalti yang dilakukan Darren sendiri itu dapat ditampan Nor Hakeem, sekali gus menggagalkan harapan skuad Sang Badak untuk menambah satu lagi jaringan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Sentuhan Prihatin Di DUN Trong, Dekati Rakyat Dalam Sukar Dan Duka


PDRM berdepan tekanan demi tekanan dari pemain tuan rumah, namun pasukan pelawat itu dapat menghalang Sabah daripada menambah jaringan untuk dibawa ke perlawanan kedua di Selangor nanti.

Usaha skuad polis untuk sekurang-kurangnya membawa satu jaringan ke aksi kedua suku akhir nanti juga tidak berhasil apabila cubaan berbahaya mereka pada minit kecederaan dapat dihalang penjaga gol Sabah, Damien Lim.

Piala Cabaran: Sabah raih kelebihan selesa

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kerjasama Kerajaan–Swasta Tangani Kos Sara Hidup Menjelang Ramadan, Syawal

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker