Jaringan Faisal pastikan Selangor FC ke separuh akhir Piala Shopee

Jaringan Faisal pastikan Selangor FC ke separuh akhir Piala Shopee

Jaringan Faisal pastikan Selangor FC ke separuh akhir Piala Shopee
FAISAL (dua dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO SELANGOR FC

Petaling Jaya: Selangor FC (SFC) mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Shopee selepas terikat 1-1 menentang wakil Thailand, BG Pathum United, dalam aksi kelima peringkat Kumpulan A Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Keputusan seri itu sudah memadai buat The Red Giants untuk melangkah ke fasa seterusnya meskipun berdepan tentangan sengit lawan yang dibarisi beberapa pemain berpengalaman antarabangsa Thailand.

SFC menurunkan Kalamullah Al Hafiz sebagai benteng terakhir dengan Faisal Halim menggalas peranan ketua pasukan, manakala gandingan Alvin Fortes dan Chrigor Moraes menjadi sandaran utama jentera serangan.

BG Pathum pula mempertaruhkan penjaga gol, Saranon Anuin dengan penyerang kebangsaan Singapura, Ikhsan Fandi serta bintang Thailand, Chanathip Songkrasin, mengetuai barisan hadapan pasukan pelawat.

Bagaimanapun, tuan rumah dikejutkan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Fortes dilayangkan kad merah pada minit ke-25 susulan terjahan keras terhadap kapten BG Pathum, Kritsada Kaman.

Kekurangan seorang pemain tidak mematahkan semangat Gergasi Merah apabila Faisal meledak gol pembukaan pada minit ke-35 untuk meletakkan SFC di hadapan, sekali gus menutup babak pertama dengan kelebihan 1-0.

Memasuki separuh masa kedua, BG Pathum meningkatkan tempo permainan dan menguasai hampir sepenuhnya perlawanan dengan SFC lebih banyak bertahan sambil mengharapkan serangan balas pantas.

Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil buat pelawat apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-63 hasil jaringan sendiri pemain pertahanan SFC, Richmond Ankrah yang tertampan bola ke gawang sendiri.

BG Pathum hampir menambah jaringan menerusi beberapa percubaan berbahaya termasuk tandukan Ikhsan dan rembatan Chatmongkol Tongkiri, namun ketangkasan Kalamullah memastikan kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus mengesahkan Selangor ke separuh akhir Piala Shopee.

Jaringan Faisal pastikan Selangor FC ke separuh akhir Piala Shopee

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bimbingan Khas Warga Emas, OKU Mudahkan Pendaftaran MyDigital ID

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker