Jangan Jadi Penghasut: Isu Tanah Kampung Melayu Majidee Bukan Bahan Politik Murahan

Jangan Jadi Penghasut: Isu Tanah Kampung Melayu Majidee Bukan Bahan Politik Murahan

Jangan Jadi Penghasut: Isu Tanah Kampung Melayu Majidee Bukan Bahan Politik Murahan

1. Sebagai ADUN Larkin dan Exco Johor, saya memandang serius dan amat kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tuan Haji Dzulkefly bin Ahmad, yang cuba membina persepsi kononnya Kerajaan Negeri “enggan” atau “tidak cakna” terhadap tuntutan penukaran status pegangan pajakan kepada hakmilik kekal di Kampung Melayu Majidee.

2. Hakikatnya, ketika isu ini telah lama wujud, beliau sendiri pernah berada dalam sistem pentadbiran negeri sebagai Exco dan mempunyai kedudukan untuk mengemukakan dasar serta keputusan. Jika benar perkara ini semudah yang digambarkan hari ini, mengapa tiada pelaksanaan menyeluruh ketika memegang jawatan?

3. Memberi gambaran seolah-olah isu ini boleh diselesaikan hanya dengan satu keputusan politik, tanpa menjelaskan implikasi undang-undang, dasar tanah negara dan risiko pasaran, adalah tidak adil kepada penduduk serta tidak jujur dari sudut tadbir urus. Jangan selepas tidak lagi memikul tanggungjawab pentadbiran barulah mahu tampil sebagai “hero rakyat”. Isu tanah bukan bahan ceramah politik, ia melibatkan undang-undang, dasar nasional, struktur pemilikan komuniti dan masa depan generasi akan datang.

4. Naratif yang dibawa seolah-olah kerajaan hari ini tidak peduli adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab. Isu ini bukan soal emosi dan bukan permainan politik. Ia menyentuh undang-undang tanah negara, perlindungan komuniti Melayu bandar serta tanggungjawab kerajaan mengurus sumber tanah secara berhemah.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Perpaduan Adalah Kekuatan, Bukan Perpecahan


5. Di bawah Kanun Tanah Negara, khususnya Seksyen 76(aa), pemberimilikan tanah secara pegangan kekal kepada individu hanya boleh dipertimbangkan dalam keadaan khas yang diperincikan melalui ketetapan Majlis Tanah Negara. Berdasarkan penelitian rekod sejarah, tanah di Kampung Melayu Majidee telah dikurniakan sebagai pegangan pajakan sejak penubuhannya pada tahun 1951. Status ini tidak termasuk dalam kategori keadaan khas yang membolehkan pertukaran kepada pegangan kekal. Ini bukan soal tidak mahu, tetapi soal terikat dengan peruntukan undang-undang.

6. Sebagai ADUN kawasan, saya mendengar dan meneliti hujah penduduk berkaitan jaminan pemilikan jangka panjang, akses pembiayaan lebih baik dan potensi pampasan lebih tinggi jika berlaku pengambilan balik tanah.

7. Sebab itu pendekatan Kerajaan Negeri adalah melalui langkah pentadbiran yang lebih praktikal dan berterusan, termasuk memudah cara sambung pajakan, mempercepat pertimbangan permohonan serta menyediakan insentif pengurangan premium bagi meringankan beban penduduk. Pendekatan ini memberi jaminan kelangsungan komuniti tanpa mendedahkan mereka kepada risiko pasaran yang tidak terkawal.

8. Selain itu, dalam konteks bandar, apabila status bertukar kekal dan nilai hartanah meningkat, wujud kecenderungan pemilik menjual kerana tawaran tinggi. Pembelian berlapis akhirnya memecahkan komuniti dan menghakis identiti penempatan tradisi Melayu. Kerajaan Negeri tidak mahu Kampung Melayu Majidee menjadi komoditi pasaran sehingga akhirnya tinggal nama semata-mata.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Biarlah Kerajaan Negeri Ditadbir Pemimpin Terbukti Berfungsi – Pemuda UMNO Sri Gading


9. Jika hakmilik kekal diberi tanpa kawal selia, tanah boleh bertukar menjadi aset spekulasi. Hari ini dapat hakmilik kekal, esok lusa ramai menjual, dan akhirnya kampung tergadai. Matlamat utama kerajaan ialah memastikan kampung ini kekal sebagai tempat hidup, membesar, berkeluarga dan mengekalkan identiti warisan, bukan aset untuk diperdagangkan.

10. Atas sebab itu, Kampung Melayu Majidee termasuk dalam kawasan tumpuan komuniti Melayu bandar atau Malay Belt di Bandaraya Johor Bahru dan sedang diberi perhatian melalui Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kampung Tradisi Bandaraya Johor Bahru. RKK ini disediakan selaras dengan Seksyen 16B Akta 172 sebagai rancangan pembangunan pelaksanaan segera.

11. RKK ini bertujuan memulihara kawasan Kampung Melayu Majidee melalui perancangan lebih tersusun dengan penglibatan masyarakat serta agensi berkaitan. Ia merangkumi strategi meningkatkan kualiti hidup penduduk, pemerkasaan ekonomi tempatan, penambahbaikan infrastruktur asas dan pemeliharaan identiti warisan komuniti Melayu bandar. Proses penyediaan RKK turut melibatkan penduduk tempatan dan agensi kerajaan, dan akan diwarta bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar serius dan berkesan.

12. Kerajaan Negeri akan terus mendengar suara rakyat serta meneliti ruang penambahbaikan dasar. Namun keputusan berkaitan tanah mesti dibuat secara berhemah, berhati-hati dan berpandangan jauh. Tanggungjawab kerajaan bukan hanya kepada pemilik hari ini, tetapi kepada generasi akan datang.

13. Saya berharap tiada pihak mengambil kesempatan membina sentimen yang mengelirukan rakyat demi kepentingan politik jangka pendek. Semoga Allah SWT memelihara kita semua dalam membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan Kampung Melayu Majidee dan generasi seterusnya. Insya-Allah.

 

Hairi Mad Shah
Adun Larkin

Jangan Jadi Penghasut: Isu Tanah Kampung Melayu Majidee Bukan Bahan Politik Murahan

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

UMNO Perlu Keluar Dari Zon Selesa, Cipta ‘Keluarbiasaan’ – Ahmad Zahid



 

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker