Harimau baham 12 lembu milik penternak Kampung Selendang

Harimau baham 12 lembu milik penternak Kampung Selendang

Harimau baham 12 lembu milik penternak Kampung Selendang
PERHILITAN Pahang memasang perangkap untuk menangkap harimau belang di Kampung Selendang Tiga, Rompin. – Foto ihsan pembaca

KUANTAN: Sebanyak 12 lembu milik penternak Kampung Selendang Tiga dan Lima, Rompin dibaham harimau belang yang dibiar bebas dalam kawasan ladang kelapa sawit sejak akhir bulan lalu hingga kelmarin.

Serangan pertama berlaku di Kampung Selendang Tiga yang menyebabkan lapan lembu menjadi korban dan kes terbaharu malam kelmarin di Kampung Selendang Lima yang menyebabkan empat kematian haiwan peliharaan milik penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Selendang, Adnan Mohamad, berkata ancaman harimau belang terhadap ternakan lembu penduduk Kampung Selendang kini dianggap serius hingga menimbulkan keresahan terutama selepas 12 lembu menjadi korban dalam tempoh dua bulan.

Menurutnya, kemunculan haiwan liar itu adalah kali pertama berlaku sejak Kampung Selendang dibuka, pembukaan hutan berskala besar bagi projek pertanian selain kawasan keliaran lembu berhampiran dengan hutan menjadi faktor utama kemunculan harimau belang.

Katanya, kawasan Kampung Selendang terdapat lebih sepuluh penternak lembu membabitkan kira-kira 4,500 lembu yang dibiarkan bebas meragut dalam kawasan ladang kelapa sawit.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Kemenangan BN Di Kinabatangan Dan Lamag Adalah Amanah Rakyat – Noraini


Setiap penternak mempunyai kawasan keliaran masing-masing dan setiap hari mereka memantau haiwan peliharaan.

“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang memasang perangkap di kawasan hutan Kampung Selendang Tiga pada minggu lalu, dengan umpan anak lembu diharap dapat menarik perhatian harimau terbabit untuk masuk ke dalam perangkap yang dibawa dari Ibu Pejabat PERHILITAN Pahang.

“Beberapa individu ditugaskan untuk memantau perangkap berkenaan secara bergilir-gilir, mereka turut memberi makan dan minum pada anak lembu yang menjadi umpan. Dari masa ke semasa kita berhubung dengan Pejabat PERHILITAN Daerah Rompin,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, PERHILITAN turut memasang kamera berhampiran perangkap dikatakan untuk mengesan jumlah haiwan terbabit seterusnya bagi membantu menentukan keadaan fizikalnya serta laluan yang utama dalam hutan.

Adnan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan harimau yang muncul di Kampung Selendang Tiga bulan lalu, kini berada dalam kawasan hutan di Kampung Selendang Lima dan bertindak membunuh empat lembu milik penduduk setempat.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Terima Kasih Kinabatangan & Lamag – Ahmad Zahid


Katanya lagi, sebelum ini beberapa penduduk setempat mendakwa terserempak dengan haiwan terbabit, namun harimau berkenaan segera menghilangkan diri dengan masuk ke dalam kawasan hutan.

Penduduk mendakwa terdapat lebih daripada seekor haiwan terbabit berkeliaran sejak bulan lalu.

“Kini penduduk bimbang untuk keluar malam dan bekerja di ladang kelapa sawit, mereka khuatir kejadian tidak diingini berlaku. Walaupun sebelum ini harimau berkenaan menyerang ternakan namun tidak mustahil beralih kepada manusia apabila keadaan terdesak.

“Pegawai PERHILITAN turut menasihatkan kepada penduduk supaya lebih berhati-hati terutama pada waktu malam termasuk ketika bekerja di ladang kelapa sawit yang terletak berhampiran dengan hutan. Haiwan itu mungkin berada hutan dan hanya keluar untuk mencari makan,” katanya.

Sementara itu, pihak PERHILITAN menyatakan pihaknya telah mengambil tindakan dengan memasang perangkap bagi menangkap harimau belang telah membaham 12 lembu milik penternak Kampung Selendang Tiga dan Lima. Pemantauan berterusan kini dilakukan bagi memastikan ancaman haiwan ganas itu dapat diatasi.

Harimau baham 12 lembu milik penternak Kampung Selendang

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Program Kupasan PAU 2025 UMNO Seputeh Perkukuh Kefahaman Akar Umbi



Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker