Osaka mohon maaf, lega lepasi pusingan ketiga Terbuka Australia

Osaka mohon maaf, lega lepasi pusingan ketiga Terbuka Australia

Osaka mohon maaf, lega lepasi pusingan ketiga Terbuka Australia
NAOMI Osaka. FOTO Agensi

Melbourne: Naomi Osaka mengakui dirinya “keliru” namun tetap memohon maaf selepas tercetus pertikaman lidah ketika berjabat tangan bersama Sorana Cirstea sebaik tamat perlawanan pusingan ketiga Terbuka Australia, hari ini.

Juara Grand Slam empat kali dari Jepun itu menewaskan pemain berpengalaman Romania berkenaan 6-3, 4-6, 6-2 untuk menempah pertemuan menentang wakil tuan rumah yang berada di ranking ke-168 dunia, Maddison Inglis.

Namun kemenangan itu jauh daripada prestasi terbaik Osaka apabila dia melakukan 41 kesilapan, selain perlawanan berakhir dengan ‘perang mulut’ di jaring.

“Rupanya ada banyak jeritan ‘c’mon’ yang membuatkan dia marah, tetapi apa pun.

“Jadi saya minta maaf jika dia marah disebabkan itu,” kata Osaka dalam temu bual di gelanggang.

Cirstea, yang beraksi buat kali ke-18 dan terakhir di Terbuka Australia selepas mengumumkan musim 2026 sebagai musim terakhir kariernya, menegaskan insiden itu tidak wajar diperbesarkan.

“Tiada drama. Ia hanya kata-kata lima saat antara dua pemain yang sudah lama berada dalam jelajah. Ia kekal antara kami,” katanya.

Apabila ditanya sama ada jeritan “c’mon” Osaka mengganggunya, pemain berusia 35 tahun itu enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak mahu bercakap mengenainya. Ini Terbuka Australia terakhir saya, saya sudah bermain selama 20 tahun dan saya rasa ada lebih banyak perkara berlaku berbanding sekadar perbincangan lima saat di akhir perlawanan bersama Naomi,” katanya.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Osaka juara Terbuka Australia 2019 dan 2021 berkata insiden itu adalah pengalaman pertama buat dirinya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Rumah Bangsa Cermin Komitmen UMNO Cari Titik Persamaan Parti-Parti Melayu/Islam


“Saya tidak pernah terlibat dalam situasi seperti ini sebelum ini, jadi saya tidak tahu sama ada kami sepatutnya meninggalkannya di gelanggang dan kemudian bertegur sapa seperti biasa,” katanya.

“Saya agak keliru. Mungkin emosinya ketika itu sangat tinggi. Saya juga ingin memohon maaf.

“Saya rasa beberapa perkara awal yang saya katakan di gelanggang adalah tidak menghormati. Saya tidak suka bersikap tidak hormat kepada orang lain. Itu bukan diri saya.”

Osaka sebelum ini turut berhempas pulas untuk menang tiga set dalam pusingan pertama, dan situasi hampir sama berulang ketika menentang Cirstea.

Osaka mohon maaf, lega lepasi pusingan ketiga Terbuka Australia

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

PRK: Samasuddin Tekankan Jentera Aktif, Kerjasama BN–GRS Perkukuh Keyakinan Rakyat



Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker