PAU 2025: Kegusaran Dan Persoalan Orang Melayu Terjawab – Razlan

PAU 2025: Kegusaran Dan Persoalan Orang Melayu Terjawab – Razlan

PAU 2025: Kegusaran Dan Persoalan Orang Melayu Terjawab – Razlan

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berpandangan bahawa segala kegusaran dan persoalan besar yang bermain di fikiran orang Melayu sebelum ini kini terjawab melalui komitmen serta langkah yang bakal dilaksanakan oleh UMNO.

Beliau berkata, ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 telah memberikan jawapan yang jelas terhadap kerisauan berkaitan masa depan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

“Ucapan penggulungan Presiden UMNO telah menjawab banyak persoalan besar yang membelenggu orang Melayu hari ini. Paling utama ialah kerisauan tentang hala tuju orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16). Timbul persoalan sama ada orang Melayu akan terus diragut dan dipecah-belahkan sehingga akhirnya berisiko kehilangan kuasa eksekutif Melayu,” ujarnya.

Menurut beliau, penegasan Presiden bahawa rumah bangsa ini bukan hanya untuk UMNO semata-mata, tetapi mempunyai skop lebih besar melalui Gagasan Musyawarah Nasional, amat melegakan.

“Musyawarah Nasional ini membuka ruang besar untuk menghimpunkan semua parti Islam dan parti yang berlandaskan perjuangan Islam dalam satu gabungan besar demi menentukan hala tuju politik orang Melayu,” jelasnya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Semangat Johor 1988: Perpaduan Melayu Sebagai Tanggungjawab Sejarah


Razlan menegaskan bahawa gagasan tersebut bukan sekadar naratif politik, sebaliknya satu realiti yang mencerminkan keresauan orang Melayu baik di bandar mahupun luar bandar.

“Harapan saya agar gagasan ini mampu menjawab keresauan tersebut dan melahirkan kesatuan orang Melayu yang tulen,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar semua pihak mengetepikan persengketaan lama, caci maki serta prasangka yang pernah berlaku dalam perjalanan politik terdahulu.

“Sejarah telah membuktikan bahawa apabila orang Melayu berpecah kepada kelompok parti yang berasingan, kekuatan politik akan melemah dan akhirnya kuasa akan tergadai,” tegasnya.

Katanya lagi, UMNO sejak dahulu kekal konsisten memperjuangkan pembentukan gabungan besar Melayu-Islam, sebagaimana kejayaan parti itu menyatukan pelbagai pertubuhan Melayu dalam penentangan terhadap Malayan Union yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

PAU 2025: Jelaskan Amanah Rakyat Secara Telus, Usah Berdiam Diri Berdepan Fitnah


“Tidak mustahil pendekatan yang sama dapat dihidupkan kembali hari ini dengan membuka pintu perbincangan dan permuafakatan sesama parti-parti Melayu,” katanya.

Razlan yakin sekiranya gagasan ini berjaya direalisasikan, ia akan menjadi satu sejarah manis buat bangsa Melayu dalam menentukan kebangkitan dan hala tuju mereka menjelang PRU-16.

Beliau turut menyambut baik penegasan Presiden bahawa Perdana Menteri tidak perlu gusar terhadap usaha ini kerana ia hanya berkisar soal hala tuju orang Melayu.

“Hakikatnya, di mana-mana negara sekalipun, kegagalan kaum peribumi memimpin gabungan kerajaan akan membawa kepada ketidakstabilan,” katanya lagi.

Akhir sekali, beliau menyeru seluruh ahli dan perwakilan UMNO membawa semangat yang digarap dalam ucapan Presiden ke setiap pelosok tanah air.

“Inilah tuntutan sebenar orang Melayu di luar sana… kesatuan, kekuatan, dan keikhlasan dalam perjuangan,” tegasnya.- UMNO Online

PAU 2025: Kegusaran Dan Persoalan Orang Melayu Terjawab – Razlan


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

PAU 2025: Menyatu Tekad, Menyala Harapan




 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker