Ucapan Dato’ Seri Mohamad Hasan – Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, Puteri UMNO
Ucapan Dato’ Seri Mohamad Hasan – Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, Puteri UMNO
TEKS UCAPAN PERASMIAN SERENTAK
DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN
PERHIMPUNAN AGUNG WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO MALAYSIA 2025
14 JANUARI 2026
DEWAN MERDEKA, PWTC
Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad,
Ketua Pergerakan Wanita UMNO,
Yang Berhormat Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh,
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO,
Yang Berbahagia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi,
Ketua Pergerakan Puteri UMNO,
Barisan Exco Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO Malaysia,
Para perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang dihormati sekalian.
1.Pertamanya, izinkan saya menzahirkan rasa terima kasih yang setulusnya, atas kehadiran semua perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
2.Terima kasih kerana tidak pernah lelah, dan berputus harap dengan UMNO.
3.Terima kasih juga, kerana sanggup untuk menempuh susah dan senang, dengan UMNO.
4.InsyaAllah, saya yakin, kesetiaan yang kita tunjukkan ini, adalah sebenar-benar sunnah sebuah perjuangan.
5.Semoga Allah memberkati dan meredai perjuangan kita, dan memperkuatkan suara kita.
6.Sebelum saya bermula, mari kita sama-sama perdiahkan Al-Fatihah kepada roh arwah rakan seperjuangan kita, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
7.Dan juga pejuang-pejuang UMNO yang telah mendahului kita.
8.Al Fatihah.

BAHAGIAN 1: GEGARAN MALAYSIA, GEGARAN SEDUNIA
Saudara-saudari,
9.Walaupun rakan-rakan kita telah pergi mendahului kita, legasi yang mereka tinggalkan mendorong kita untuk meneruskan perjuangan.
10.Suara Perwakilan Sekalian telah bergema ke seluruh tanah air, dari Timur ke Barat, dari Utara ke Selatan.
11.Saya mendengar kebimbangan Wanita, tentang ruangan hidup yang kian sempit.
12.Saya memerhati bantahan Pemuda, yang marahkan ketidakadilan politik.
13.Dan saya membaca keresahan Puteri, tentang kabus yang menyelubungi masa hadapan.
14.Saya mendengar segala kegusaran saudara-saudari, dan saya melihat harapan, yang tersembunyi di sebaliknya.
Perwakilan Sekalian Yang Dihormati,
15.Jika kita membuka mata, melihat apa yang sedang berlaku di dunia luar, nyatalah, bahawa keresahan kita bukan sesuatu yang terpencil.
16.Tahun-tahun kebelakangan ini adalah “Ombak Pilihan Raya Global”.
17.Dari Eropah ke Amerika, dari Asia ke Timur Tengah, saya melihat satu trend yang sangat membimbangkan.
18.Satu fenomena yang dipanggil, “Anti-Incumbency Wave” (Gelombang Menolak Kerajaan Sedia Ada).
19.Kerajaan-kerajaan yang lama, parti-parti gergasi yang mapan, sedang tumbang satu demi satu.
20.Di United Kingdom, Parti Konservatif yang memerintah 14 tahun, hancur lebur. Di Amerika, pentadbiran bertukar tangan kerana rakyat marah. Di Jepun, di Korea Selatan, kerajaan bergolak.
21.Kenapa ini berlaku?
22.Kerana rakyat di seluruh dunia sedang marah. Mereka tertekan dengan kos sara hidup, inflasi, dan ketidakstabilan ekonomi.
23.Rakyat menjadi “tidak sabar”.
24.Mereka tidak lagi peduli, sejarah parti mana yang memerdekakan, dan membangunkan negara. Jika perut mereka lapar, mereka akan hukum pemerintah.
25.Gelombang kemarahan global ini sedang, dan telah pun, memukul pantai kita.
26.Buktinya ada di depan mata. Isyarat besar yang dihantar oleh rakyat, dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini, adalah manifestasi gelombang ini.

BAHAGIAN 2: HUKUMAN SABAH
Saudara-saudari,
27.Kita mesti jujur dengan diri sendiri. Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini bukan sekadar kekalahan biasa.
28.Mari kita bedah siasat dengan mata yang terbuka.
29.Parti dalam Kerajaan Perpaduan dari Semenanjung ditolak secara TOTAL di Sabah.
30.DAP pulang dengan tangan kosong. PKR nyawa-nyawa ikan.
31.Kita, UMNO, menang. Tetapi jumlahnya tidak cukup untuk kita mendabik dada.
32.UMNO hanya memenangi enam kerusi, dari puluhan yang dipertandingkan.
33.Sabah, suatu ketika dahulu, adalah medan UMNO yang sangat kukuh dan kuat, dengan jumlah ahli paling ramai, dan jumlah bahagian yang paling banyak.
34.Kini, kedudukan dan realiti kita, sangat berbeza.
35.Orang Sabah memilih untuk menolak kita. Mereka memilih perikatan lokal, yang lebih serasi dengan sentimen tempatan.
36.Ini menunjukkan masih banyak isu, yang belum berjaya kita uruskan dengan berkesan.
37.Parti belum pulih. Banyak yang harus kita tambah baik dan kemaskan.
38.Yang jelas, semua itu mesti dilakukan, dengan menerima secara terbuka dan berlapang dada.
39.UMNO sudah tidak kelihatan dan kedengaran ampuh, dalam memperjuangkan kepentingan Sabah untuk rakyat Sabah.
40.Kita terlalu terbawa dengan isu nasional, tanpa lantang mengetengahkan agenda tuntas untuk Sabah, bagi orang Sabah.
41.Gagal membaca persekitaran yang berubah deras. Sebab itu kita dihukum rakyat Sabah.
BAHAGIAN 3: PERANAN UMNO DALAM KESTABILAN NEGARA
42.Pada masa yang sama, kedudukan kita dalam kerajaan dipersoalkan.
43.Dalam keadaan dunia bergolak dan rakyat marah, ramai yang bertanya, malah ada yang sinis:
44.”Kenapa UMNO masih tebal muka dalam kerajaan ini? Kenapa duduk semeja dengan seteru lama? Adakah UMNO sudah gila kuasa?”
45.Dengar sini baik-baik. Pasakkan di minda dan hati masing-masing.
46.Pasca-PRU15, UMNO sebenarnya sudah bersedia untuk menjadi Pembangkang. Kita terima hukuman rakyat dengan hati terbuka. Kita mahu berehat untuk bina semula kekuatan dari bawah.
47.Tetapi takdir Allah dan tuntutan negara, mengatasi kehendak parti. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu memanggil kita.
48.Negara sedang “tergantung”. Parlimen tergantung. Politik di ambang huru-hara. Ekonomi rakyat mula terancam.
49.Pada saat genting itulah, Tuanku bertitah meminta UMNO, walaupun kerusi kita tak banyak, untuk BANTU TUBUHKAN KERAJAAN, demi menyelamatkan negara.
50.Kita masuk kabinet untuk BINA KESTABILAN, saudara-saudari sekalian. Kita adalah “Sauh”, yang memastikan kapal negara tidak karam.
51.Itu jasa kita kepada rakyat
52.Menguruskan negara adalah tentang membaca, memahami, dan menterjemahkan keperluan Malaysia, dengan cara terbaik dan paling cermat.
53.Agar generasi hari ini menerima manfaat. Dan generasi masa depan, tidak kehilangan tempat.
54.Jadi, menguruskan negara itu, pada saya secara ringkasnya, adalah tentang bagaimana UMNO, memaksimumkan kedudukan kita, sebagai kuasa pertengahan dan pengimbang. Dan bertindak sebagai parti politik yang bertanggungjawab.
55.Malam ini saya mahu pesan: Marah mesti bersulam Strategi. Berani mesti bersulam Tanggungjawab.
56.Jadi, ke mana hala tuju kita? Adakah kita akan keluar kerajaan esok dan biarkan negara huru-hara?
57.Tidak. Itu jalan mereka yang tunduk kepada emosi, bukan kerja negarawan.
58.Bak kata orang tua-tua: Berfikir biar panjang, bertindak biar bijak.
Saudara-saudari, ingatlah.
59.Sejarah dunia moden memberi kita satu pengajaran, yang sangat mahal harganya.
60.Apabila perbezaan politik dibiarkan membarah tanpa kebijaksanaan, kerajaan akan runtuh.
61.Dan apabila kerajaan runtuh tanpa pelan penggantian yang jelas, yang lahir bukanlah kebebasan, tapi kekosongan kuasa. “Power vacuum.”
62.Kita telah menyaksikan di beberapa negara, bagaimana pertelingkahan politik yang tidak terkawal, telah melumpuhkan institusi negara.
63.Parlimen menjadi medan tempur, kerajaan bertukar tanpa hala tuju, ekonomi terjunam, pelabur melarikan diri.
64.Dan akhirnya, rakyat lah yang menanggung derita paling besar.
65.Apabila politik menjadi medan dendam, pihak ekstrem muncul. Apabila kepimpinan berpecah, campur tangan asing mula mengintai.
66.Inilah yang akan berlaku apabila kemarahan mengatasi kebijaksanaan, dan apabila kuasa dijatuhkan, tanpa tanggungjawab untuk membina semula.
67.Kita semua mesti sedar, bahawa keluar masuk sesebuah kerjasama politik, bukan jawapan untuk UMNO pulih. Ia bukan jalan keluar, yang merawat masalah dan sakit kita.
68.Ia hanyalah satu peralihan, dan pemesongan fokus yang sangat bersifat jangka pendek.
Saudara-saudari,
69.Apa yang saya sampaikan ini, bukan bertujuan menimbulkan ketakutan, tetapi untuk mengingatkan kita, akan betapa rapuhnya nikmat keamanan.
70.Segala kebanggaan kita hari ini … ketiadaan perang dan keganasan di Malaysia … boleh hilang dalam sekelip mata. “Gone before we know it.”
71.Dan saya menyeru seluruh warga UMNO, agar kembali berpegang kepada nilai-nilai yang melahirkan parti ini. Nilai luhur yang menjadi tunjang pembinaan negara.
72.UMNO tidak pernah dibina, untuk menjadi parti yang sekadar pandai menjatuhkan. UMNO dibina, untuk memerintah dengan akal, menstabilkan dengan strategi, dan membina dengan tanggungjawab.
73.Sebab itu, kita mesti membezakan antara perjuangan dan pemusnahan, antara strategi dan emosi, antara keberanian dan kenaifan.
74.Jadi, saya menyeru ahli UMNO, untuk mendukung peranan kami dalam Kerajaan Perpaduan, dengan pandangan yang membina. Idea yang bernas. Teguran yang munasabah.
75.InsyaAllah, hikmah dari teguran yang baik dan bernas, akan kami terjemahkan menjadi natijah, yang juga baik untuk bangsa Melayu, dan tanahair kita Malaysia.
76.Sebagai sebuah gerakan kebaikan bangsa, UMNO dan segala pengalamannya, mesti mengubahsuai dan menambah baik Agenda Melayu, dengan cara yang strategik dan betul.
BAHAGIAN 4: FALSAFAH BARU – “KEINDUKAN MELAYU SEBAGAI PENGAYOM DAN TIANG SERI NEGARA”
Para perwakilan Wanita, Pemuda, dan Puteri yang dihormati sekalian,
77.Untuk menghadapi PRU-16, UMNO mesti menawarkan sesuatu yang baharu.
78.UMNO mesti kembali, membawa falsafah “Kekuatan KEINDUKAN Melayu, Sebagai Pengayom dan Tiang Seri Negara”.
79.Kita mahu membina Melayu yang kuat, bukan untuk menjadi “Tuan” yang sombong, tetapi untuk menjadi INDUK.
80.Sifat Induk itu melahirkan, mengasuh, melindungi, dan mengayomi.
81.Bila Melayu UMNO kuat dan bijaksana, dia menjadi “Induk” atau “Pengayom Besar” kepada negara.
82.Bayangkan Malaysia ini sebuah rumah besar. Dalam rumah ini ada pelbagai bilik untuk semua kaum dalam negara ini: Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya.
83.Tetapi, UMNO ialah tiang serinya.
84.Inilah resipi kestabilan yang sebenar. Sejarah telah membuktikan, hanya apabila Melayu menjadi Tiang Seri yang teguh, barulah rumah Malaysia ini selamat.
85.Bila Tiang Seri kuat, atap takkan bocor, dinding tidak retak.
Para perwakilan sekalian,
86.Di dalam usaha melebarkan pengaruh politik Melayu sekalipun, kita mesti sentiasa bersifat rasional dan munasabah.
87.Jangan gopoh, jangan cepat melatah. Apatah lagi cepat terikut-ikut dengan tohmah dan fitnah.
88.Kecaman yang keterlaluan terhadap parti, kelompok dan individu tertentu, bukanlah cara dan adab kita dalam berpolitik dan berjuang.
89.Bukan kerana kita ini tertutup dan tidak mahu menerima teguran.
90.Tetapi, cara yang keterlaluan selalunya akan menghilangkan, maksud dan nilai sebenar dalam teguran.
91.Akhirnya, perkara yang harus menjadi fokus, akan tenggelam dalam badai emosi.
92.Jangan kerana orang lain, kita hilang adab. Biar orang lain bertindak dengan keji, kita jaga akhlak sendiri.
93.Kita mesti buktikan kepada rakyat, bahawa hanya apabila “Melayu Bijaksana” memegang stereng, barulah Malaysia ini selamat untuk semua.
BAHAGIAN 5: AMARAN BUAT ‘GOLONGAN KIRI’
Saudara-saudari sekalian,
94.Dalam kita berbicara soal strategi, kuasa, dan kelangsungan parti, ada satu perkara yang wajib dipahat kemas, dalam sanubari setiap ahli dan pemimpin UMNO.
95.Kerjasama politik, sama ada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, atau apa jua bentuk pakatan masa hadapan, bukanlah tiket percuma untuk mana-mana pihak, untuk melunakkan prinsip asal kita.
96.Kita perlu menghantar isyarat yang jelas, keras, dan tuntas, khususnya kepada golongan berhaluan kiri, kelompok liberal, atau sekutu politik yang cuba menangguk di air keruh:
97.Jangan sesekali cabar Garis Merah (Red Line) ini.
I. Hak Keistimewaan Melayu dan Bumiputera
●Ini bukan isu rasisme; ini adalah asas Perlembagaan dan Kontrak Sosial, yang telah membina negara ini.
●UMNO tidak dibentuk untuk menjadi apologetik, dalam mempertahankan hak bangsa.
●Rakan-rakan politik, terutamanya dari ideologi yang berbeza, perlu faham bahawa menyentuh, atau mempertikaikan hak keistimewaan ini, adalah satu pengisytiharan perang terhadap nurani orang Melayu.
●Kita boleh berkongsi kuasa, tetapi kita tidak akan berkongsi atau menggadaikan maruah bangsa.
II. KESUCIAN AGAMA ISLAM
●Islam sebagai Agama Persekutuan adalah tiang seri negara.
●Sebarang cubaan untuk menyamaratakan agama, membawa agenda pluralisme yang melampau, atau memperlekehkan institusi Islam atas nama “hak asasi”, atau “kebebasan bersuara”, tidak akan diterima.
●UMNO akan menjadi benteng paling hadapan, yang akan menentang sebarang dakyah yang cuba merungkaikan, kedudukan Islam di tanah air ini.
III. KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU
●Institusi diraja bukan sekadar simbol; ia adalah payung kedaulatan negara.
●Golongan yang cuba bersikap kurang ajar, menyindir, atau memanipulasi sentimen, untuk merendahkan martabat Raja-Raja Melayu, perlu sedar bahawa mereka sedang bermain dengan api.
●UMNO lahir dari istana dan rakyat; kesetiaan kami kepada Raja tidak berbelah bahagi.
98.Saya memperingatkan rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan: Jangan sangka kerana kita berada dalam satu kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya.
99.Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. UMNO tidak akan diam membisu.
100.Kita akan bangun, kita akan bersuara, dan kita akan menentang habis-habisan sesiapa jua, kawan atau lawan, yang cuba merobek tiga teras utama ini.
101.Ini adalah amaran keras. Kita bersedia bekerjasama demi rakyat dan demi negara, tetapi jika tangan-tangan gatal mula menyentuh agama, bangsa, dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan segala kekuatan yang ada.
102.INGAT INI! Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO.
Saudara-saudari,
103.Amaran keras ini bukan sekadar retorik kosong di atas pentas. Prinsip “Garis Merah” ini bukan sekadar laungan semangat untuk menyedapkan hati kamu semua.
104. Ramai di luar sana, malah mungkin ada yang berbisik di dalam dewan ini, yang ragu-ragu.
105.Mereka bertanya: “Tok Mat, UMNO berani cakap saja, tapi dalam kerajaan UMNO diam membisu ke?”
106.Atau lebih pedih, ada yang menuduh kita ini “Pak Turut” yang boleh dibuli dan dicucuk hidung.
107.Malam ini, saya mahu matikan persepsi itu.
108.Saya mahu buktikan bahawa prinsip yang saya sebutkan tadi, sedang dan telah pun kita terjemahkan, menjadi perisai ampuh dalam Kabinet.

BAHAGIAN 6: PENYEMAK IMBANG – PERISAI DARI DALAM
Para perwakilan sekalian,
109.Dengar sini baik-baik.
110.Jangan siapa-siapa ingat UMNO ini “melukut di tepi gantang”.
111.UMNO adalah PENYEMAK IMBANG (check and balance) yang paling efektif dari dalam kerajaan.
112.Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet adalah suara penentu.
113.Kita pastikan tiada dasar yang melampau, tiada dasar yang merugikan orang Melayu, dibiarkan begitu saja.
114.Saya bentangkan TIGA BUKTI NYATA, sebagai contoh bagaimana UMNO bertindak, sebagai “Perisai” Melayu:
115.BUKTI 1: MENANGGUH RUU URBAN RENEWAL ACT (URA)
a.Ada cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA). Niat asalnya mungkin untuk pembangunan. Tetapi UMNO meneliti halusnya.
b.Kita bimbang, jika akta ini diluluskan melulu, hak milik tanah orang Melayu di bandar-bandar akan terhakis, diatas nama pembangunan komersial. Kita tak mahu orang Melayu jadi “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”.
c.Maka, Menteri-menteri UMNO bertegas: TANGGUH dan SEMAK SEMULA! Kita mesti bela hak pemilik tanah asal dulu. Kita jaga tanah bangsa!
116.BUKTI 2: MENGHALANG PILIHAN RAYA KERAJAAN TEMPATAN
117.Ada hasrat rakan komponen tertentu, yang beriya-iya mahu laksanakan Pilihan Raya PBT. Kononnya atas nama demokrasi.
118.Tetapi UMNO melihat jauh ke depan. Kita tahu risiko polarisasi kaum di bandar.
119.Kita tahu jika ini dibuat, ketidakseimbangan kuasa akan berlaku, dan mudaratnya lebih besar dari manfaat.
120.UMNO bantah secara terus terang.
121.Siapa yang AKAN halang jika bukan UMNO?
122.BUKTI 3: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA
123.Ada suara sumbang kata, agenda Melayu mati di bawah Kerajaan Perpaduan. Bohong!
124.Selagi UMNO ada di situ, Agenda Ekonomi Bumiputera, DIPERKASAKAN LAGI.
125.Lihat Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang berjalan lancar. Lihat institusi keramat kita.
126.MARA tidak disentuh, malah TEKUN dan PUNB terus dibela, dan ditambah dana pelaburannya.
127.Inilah UMNO yang sebenar.
128.Kita mungkin diam di media sosial, kita mungkin tidak bising menjerit di TikTok macam pembangkang.
129.Tetapi kita bekerja senyap-senyap, menjadi Benteng yang memastikan kerajaan ini tidak tergelincir, dari landasan asal negara.
130.Dan ini kita buktikan, dengan dasar ekonomi nyata yang digerakkan Menteri UMNO.
131.Kita bukan janji bulan bintang, kita tunjuk hasil. BUKTI, bukan sekadar JANJI.
132.Pertama: Revolusi TVET Negara.
133.Melalui Presiden kita di KKDW, kita angkat Dasar TVET Negara. Kita bawa masuk teknologi AI dan Robotik.
134.Kita mahu anak Melayu lulusan TVET bergaji RM4,000, RM5,000. Kita beri mereka “Joran Emas” untuk memancing rezeki lumayan.
135.Kedua: Suruhanjaya GIG (SEGiM).
136.Lihat anak muda kita di jalanan pula membawa Grab dan Foodpanda. Atas desakan UMNO lah, Kerajaan merealisasikan, Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).
137.Kita bela nasib mereka. Kita pastikan mereka ada perlindungan PERKESO, ada simpanan hari tua. UMNO tidak biarkan anak muda jadi hamba ekonomi.
138.Inilah “Jihad Ekonomi” kita untuk rakyat!
BAHAGIAN 7: MISI MUDA & ROADMAP 24 BULAN
Saudara-saudari,
139.Persoalan paling besar: Apa nak buat dalam tempoh 24 bulan sebelum PRU-16? Kita perlukan Roadmap yang jelas.
140.Sedarilah, 50% pengundi adalah orang muda (18-35 tahun).
141.Mereka tidak membesar melihat zaman kegemilangan BN. Mereka tidak merasa zaman pembangunan Felda tahun 80-an.
142.Mereka adalah ‘Generasi Tanpa Nostalgia’. Dan mereka tidak mengundi atas dasar parti.
143. Apa yang mereka nampak di TikTok, sejak akil baligh, hanyalah fitnah dan tohmahan.
144.Maka, arahan saya malam ini jelas: Berhenti jual Sejarah. Mulakan jual Masa Depan.
145.Anak muda 25 tahun, yang kerja Grab atau FoodPanda, tak leka mengenang pencapaian UMNO 40 tahun lalu.
146.Dia mengundi atas dasar harapan tentang masa depan.
147.Dia tanya: “Gaji aku cukup tak? Boleh beli rumah tak?”
148.Kita mesti tawarkan solusi gaji dan kerjaya. Ketengahkan rancangan Ekonomi Gig dan kebebasan bekerja.
149.Jangan menghukum mereka atas perbezaan pendapat dan isu penampilan. Rangkullah mereka.
150.Tunjukkan mereka bahawa UMNO parti yang relevan, terbuka, dan sedia mendengar.
151.UMNO perlukan apa yang dipanggil ‘creative disruption’ atau ‘gangguan kreatif’.
152.Gangguan kreatif ini adalah idea atau inovasi baharu yang drastik.
153.Dengan tujuan melakukan perubahan besar, dengan menggunakan penyelesaian yang adaptive dan inovatif.
154.Mengapa kita perlu mempertimbangkan perkara ini?
155.Pertama, kerana semenjak dua pilihanraya lepas, UMNO telah melalui kekacauan luar biasa.
156.Terluncut dari puncak kuasa, dan menerima penolakan dari orang Melayu.
157.Ia adalah kekacauan yang sangat drastik dan luar biasa, untuk sebuah parti politik seperti UMNO.
158.Maka, penolakan dan realiti yang bersifat drastik, menuntut sentuhan yang turut bersifat drastik.
159.Kedua, sehingga waktu ini, semua strategi kita untuk kembali pulih, seperti tidak mendatangkan impak yang memberangsangkan.
160.Malah dalam banyak keadaan, sokongan terhadap kita semakin menyusut. Sedangkan kumpulan dan jenis pengundi, semakin ramai dan bertambah.
161.Maka, perubahan yang drastik dalam masyarakat, menuntut sentuhan yang drastik oleh parti.
162.Ketiga, penyokong tegar kita telah menyusut dengan drastik.
163.Dua sebab utama ialah, mereka beralih menyokong parti politik lain, dan kedua, kerana kemunculan besar generasi baharu, yang tidak mempunyai apa-apa keterhubungan dengan UMNO.
164.Jadi, untuk berhadapan dengan mereka ini, kita tidak boleh terus menerus menggunakan cara lama, mentaliti lama, dan andaian lama.
165.Kita memerlukan gangguan dan sentuhan yang juga drastik!
166.Keempat, struktur UMNO terlalu berat, pegun, dan membebankan.
167.Struktur dan cara kita bertindak tidak anjal.
168.Untuk sebuah entiti politik yang mempunyai legasi dan sejarah yang panjang, UMNO tidak semestinya beranggapan, yang semua cara dan pendekatan kita mesti bersifat lama dan panjang.
169.Kita mesti menjadi parti politik moden. Capaian sokongan bukan lagi memerlukan struktur seperti cawangan, bahagian, dan pelbagai lapisan kepimpinan untuk terpilih berkhidmat.
170.Tetapi akan sangat bersandarkan platform digital dan teknologi.
171.Semua ini adalah perkara yang sangat drastik, dan berubah dengan kadar yang sangat pantas.
172.Jika kita tidak bersifat drastik dalam pendekatan kita, kita akan ketinggalan, dan menjadi sangat tidak relevan.
173.Kelima, ideologi nasionalisme Melayu tidak lagi memadai, untuk kita menagih sokongan.
174.Ia adalah mantera lama yang tidak lagi mencukupi untuk kita menang.
175.Pengundi Melayu Islam memerlukan lebih dari politik identiti, untuk memberi sokongan kepada UMNO.
176.Isu seperti keadilan, kualiti hidup, persaraan yang bermaruah, serta banyak lagi trend yang bukan berkisar tentang Melayu Islam.
177.Dan yang terakhir, terlalu banyak aspek dalam kehidupan kita, yang kini dipacu teknologi dan kecanggihan komunikasi.
178.Malangnya, parti tidak bergerak di atas landasan teknologi, seperti yang sepatutnya.
179.Ini menyebabkan UMNO menjadi terpencil dari ekosistem sosial, yang semuanya berfungsi selari kederasan perubahan teknologi, dan kepantasan maklumat.
180.Justeru bagaimana kita akan menguruskan UMNO untuk melalui ‘gangguan kreatif’ ini?
181.Pertama, usaha digitilisasi UMNO harus berlaku secara besar-besaran.
182.UMNO perlu menjadi parti yang boleh wujud di persada maya, seperti industri bank dan pendidikan tinggi beralih ke persada maya.
183.Malah, semua sektor perkhidmatan termasuk Kerajaan.
184.Jika bank dan perniagaan boleh beralih ke era digital, apakah struktur kita tidak boleh menjadi digital.
185.Mungkin telah tiba masanya kita berimaginasi bahawa UMNO itu adalah sebuah parti digital.
186.UMNO-Digital atau e-UMNO bukan sesuatu yang mustahil dan tidak terjangkau.
187.Kedua, kita mesti terhubung dengan sistem sosial lain.
188.Politik adalah tentang pelebaran pengaruh dan kepercayaan.
189.Maknanya kita tidak boleh hanya dengan agenda Melayu Islam sahaja. Ia tidak akan menjamin kemenangan dan sokongan.
190.UMNO perlu pergi kepada persoalan asas kehidupan. Adakah kalau kita memerintah, sistem Kesihatan kita akan lebih sejagat, bermutu dan mampu di akses?
191.Adakah apabila kita mengemudi Kerajaan, kita mempunyai solusi yang jauh lebih baik, untuk mengawal sewa perumahan dan premis perniagaan, agar kualiti kehidupan menjadi baik?
192.Adakah sistem Pendidikan kita akan berganjak kepada lebih bermutu dan lebih kreatif, selari dengan mutu antarabangsa?
193.Ini bermakna, kita perlu menerima hakikat bahawa perubahan paradigma itu sangat perlu.
194.Melayu Islam harus menjadi asas kepada sesuatu yang lebih luas.
195.Ketiga, kita memerlukan sokongan pelbagai generasi, tetapi kelangsungan kita adalah generasi Z dan Alpha.
196.Mereka ini adalah ‘constituents’ kita yang paling penting. Tanpa mereka kita akan kalah.
197.Saya ulangi, tanpa mereka kita akan tewas.
198.Maka fokus kita ialah untuk membangunkan keterhubungan ini.
199.Kalau sekadar hanya memaparkan gambar dan bercakap di Tik Tok, itu hanya mengikut trend.
200.Gen Z dan Alpha mempunyai cara fikir dan cara hidup yang sangat berlainan.
201.Kita harus menyelami cara dan kehidupan mereka, untuk mereka menjadi faham dan mengerti tentang apa yang kita perjuangkan.
BAHAGIAN 8: ARAHAN OPERASI SAYAP (THE BATTLE PLAN)
202.Untuk mencapai visi ini, saya berikan Mandat Khusus malam ini.
203.Kepada Wanita: “Agen Ekonomi Rumah Tangga”.
204.Kepada ibu-ibu sekalian, saya amanahkan tugas Penyelesai Masalah Ekonomi.
205.Audit dapur rakyat. Jika bantuan kerajaan tercicir, Wanita UMNO lah yang tolong dapatkan. Jika harga barang naik, desak Menteri bertindak.
206.Biar rakyat kata: “Parti lain sibuk berpolitik, tapi bila beras habis, Wanita UMNO yang sampai dulu.”
207.Kepada Pemuda: “Pendesak, Pemantau, Penjaga Bangsa & Loceng Kecemasan”.
208.Saya tahu Dr. Akmal dan Pemuda telah menjeritkan hal isu rakyat dalam Konvensyen Pemuda baru-baru ini. Ada pihak yang kata Pemuda biadab.
209.Bagi saya, tidak.
210.Tugas Pemuda memang Pembingit dan Rebellious. Tugas Pemuda menjadi loceng kecemasan.
211.Dr. Akmal, Pemuda, teruskan keberanian kamu.
212.TAPI, jadilah “Pembangkang Konstruktif” dari dalam kerajaan.
213.Jika ada dasar Kerajaan yang merugikan Melayu, atau menekan rakyat, Pemuda lah yang AKAN bangkit dan menyanggah terlebih dahulu.
214.RAMPAS naratif “Hero Rakyat” daripada pembangkang. BUKTIKAN Pemuda UMNO lah yang paling efektif menjaga Melayu, BUKAN mereka yang hanya pandai main sentimen.
215.Kepada Puteri: “Jentera Perang Maya”.
216.Sabah mengajar kita satu perkara: Kita kalah di TikTok.
217.Puteri, medan perang kamu di skrin telefon. Saya mahu Puteri menjadi Unit Risikan Data.
218.Ubah persepsi anak muda. Masuk ke kolej-kolej, masuk ke ruang digital. Naikkan isu mental health, isu gaji bermaruah.
219.Pastikan Undi18 nampak UMNO sebagai kawan yang memahami.
BAHAGIAN 9: PENUTUP – HALA TUJU PRU-16
220.Akhir sekali, pegang amanat saya ini ketat-ketat. Bila gendang PRU-16 dipalu nanti, ingatlah:
221.Kita akan masuk ke gelanggang sebagai BARISAN NASIONAL.
222.Kita akan bina kekuatan sendiri.
223.Kita akan tawarkan kepada rakyat satu pasukan yang Dominan dan Mengayomi.
224.Kita mahu menang bukan atas ihsan orang, tapi kerana rakyat percaya, UMNO lah satu-satunya parti yang tahu, DAN YANG PALING BERPENGALAMAN, mengurus negara ini.
225.Kapal UMNO ini sedang belayar di lautan paling ganas. Ramai yang ramal kita akan karam. Ramai yang kata PRU-16 adalah kubur kita.
226.Tapi mereka lupa. Kita adalah pewaris parti keramat. Kita pernah jatuh, tapi kita tak pernah mati.
227.Pulanglah para perwakilan ke cawangan masing-masing. Asah pedang, rapatkan saf.
228.Kita bersiap sedia bukan untuk jadi kawan, juga bukan untuk jadi penumpang.
229.Kita bersiap sedia untuk kembali menjadi Induk semula di tanah air ini.
230.Dulu, Kini, dan Selamanya.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Ucapan Dato’ Seri Mohamad Hasan – Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, Puteri UMNO
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Skuad Sayang 3K Bukti Kebersamaan Wanita UMNO Bersama Masyarakat – Noraini
- Ahmad Zahid Anggap Skuad Sayang 3K Lambang Keberadaan Wanita UMNO Sentiasa Prihatin
- Ikhlas, Disiplin Dan Amanah Bekal Graduan SPU Teruskan Perjuangan UMNO – Wan Rosdy
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Jadikan PAU 2025 Penentu Hala Tuju, Jangan Biar Parti ‘Diracik-racik’ – Mohd Razlan

You must be logged in to post a comment.