Keluarga pelatih PALAPES gesa polis segera siasat termasuk cubaan sorok maklumat kematian

Keluarga pelatih PALAPES gesa polis segera siasat termasuk cubaan sorok maklumat kematian

Keluarga pelatih PALAPES gesa polis segera siasat termasuk cubaan sorok maklumat kematian
Pelatih PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, yang meninggal dunia ketika mengikuti latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Syamsul Haris Shamsudin, mahu siasatan segera dijalankan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kematiannya sebagai kes bunuh.

Peguam keluarga, Datuk Naran Singh, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memastikan semua individu yang terbabit atau bertanggungjawab menyebabkan kematian pemuda itu dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, siasatan perlu dibuat dari pelbagai sudut untuk mencari punca sebenar kematian.

“Pihak keluarga terutamanya ibu mangsa berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh AGC.

“Keluarga berharap siasatan segera dijalankan dan berharap pelaku kes ini dapat menerima tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Padanan Pekerjaan: Pendekatan Berasas Data Terus Diperkukuh – Abdul Rahman


Naran berkata, siasatan juga perlu dijalankan terhadap kemungkinan wujud cubaan pihak tertentu menyorokkan maklumat berhubung kematian Syamsul Haris.

Katanya, ia jelas menunjukkan percanggahan besar bahawa tiada kecederaan pada anggota tubuh Allahyarham Syamsul Haris seperti dalam laporan bedah siasat pertama.

Beliau berkata, bedah siasat kedua yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan punca kematian sebagai kecederaan traumatik pada bahagian leher, berdasarkan dapatan pakar forensik HKL, Dr Siew Sheue Feng.

“Siasatan dan keterangan juga perlu diambil terhadap dua doktor yang menjalankan bedah siasat kali pertama di Hospital Kota Tinggi, Johor memandangkan terdapat percanggahan maklumat,” katanya.

Naran menegaskan siasatan juga perlu meneliti bagaimana maklumat tidak tepat berhubung kecederaan mangsa disampaikan sehingga Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera bahawa tiada kecederaan pada tubuh Allahyarham.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

KKR Komited Pastikan Infrastruktur Jalan Raya Pada Tahap Optimum Guna Teknologi Terkini


Beliau berkata, Menteri Kesihatan juga perlu mendapatkan penjelasan daripada pegawai perubatan yang melakukan bedah siasat pertama serta menjelaskan kenapa laporan awal menyatakan penemuan bergantung kepada siasatan makmal.

“Ini perkara yang serius, dan kerajaan mesti menyiasat bagaimana perkara ini berlaku. Mana-mana pihak yang berpakat menyorokkan maklumat perlu dibawa ke mahkamah,” katanya.

Semalam, AGC mengarahkan kes kematian Allahyarham Syamsul Haris diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Keputusan itu dibuat AGC berpandukan laporan siasatan yang dibuka oleh PDRM ke atas kematian Allahyarham Syamsul Haris.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, dilaporkan berkata polis sedang mengenal pasti individu yang terbabit atau bertanggungjawab menyebabkan kematian pelatih PALAPES terbabit.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur pelatih PALAPES itu digali semula, bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris dilaksanakan di HKL dan jenazah dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan pada hari sama.

Pada 28 November lalu, laporan bedah siasat diterima pihak keluarga dan peguam dengan keputusan menunjukkan punca kematiannya disebabkan kecederaan pada leher.

Dalam pada itu, Naran menambah beliau akan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat ini untuk proses perbicaraan bagi mendapatkan laporan bedah siasat yang pertama.

“Selepas itu, saya akan buat satu sidang media mengenai kenyataan yang dibuat beberapa hari ini termasuk kenyataan oleh Peguam Negara berkenaan klasifikasi semula kes kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Keluarga pelatih PALAPES gesa polis segera siasat termasuk cubaan sorok maklumat kematian

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Junjung Tinggi Proses Demokrasi, Terus Bersepadu Demi Masa Depan Sabah

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker