PRN Sabah: Gunakan Peluang Undi Awal Tentu Hala Tuju Sabah – Bung Moktar
PRN Sabah: Gunakan Peluang Undi Awal Tentu Hala Tuju Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 25 Nov – Barisan Nasional (BN) Sabah menyeru semua pengundi awal di negeri itu agar memanfaatkan peluang mengundi esok bagi menentukan hala tuju serta masa depan Sabah.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata undi awal mempunyai nilai yang sama seperti undi pada hari pengundian 29 Nov bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata setiap pengundi memikul tanggungjawab besar dalam membuat pilihan terbaik demi masa depan Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Ingat, undi awal sama sahaja dengan pengundi-pengundi pada 29 Nov nanti. Gunakanlah peluang yang ada, gunakanlah matlamat yang ada dan ingat bahawa lima tahun sekali adalah peluang untuk kita menentukan nasib serta masa depan Sabah,” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebook rasminya.
Bung Moktar berkata meskipun Sabah telah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun, tahap pembangunan dan kemajuan negeri itu masih belum seiring negeri lain.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
Kuala Pilah Mohon KPKT Pertimbang Peruntukan, Sokong Penganjuran Pesta Bola Ngoca
Sehubungan itu, Bung Moktar berkata BN menawarkan lembaran baharu untuk memakmurkan Sabah dan membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan melalui pelaksanaan agenda yang digariskan dalam manifesto parti.
“Gunakanlah kuasa di tangan anda. Undilah calon-calon yang boleh mengangkat darjat Sabah dan mengeluarkan rakyat Sabah dari belenggu kemiskinan. Undilah calon-calon Barisan Nasional. Insya-Allah kita akan dapat merubah untuk nasib masa depan rakyat negeri Sabah itu sendiri,” katanya.
Sebanyak 24,426 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka di 58 pusat pengundian awal yang dibuka serentak di seluruh negeri mulai 8 pagi esok, sebelum ditutup secara berperingkat.
Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan sebanyak 596 calon bertanding untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 74 daripadanya ialah calon yang bertanding atas tiket Bebas.
Tempoh berkempen bagi PRN Sabah ke-17 yang bermula dari 15 Nov lepas akan berakhir pada 11.59 malam, 28
Nov. – BERNAMA
PRN Sabah: Gunakan Peluang Undi Awal Tentu Hala Tuju Sabah – Bung Moktar
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Momentum Kempen Kian Meriah, Zaidy Turun Bantu Bung Di Lamag
- PRN Sabah: Perkukuh Kesatuan Jentera Demi Kemenangan 29 Nov Nanti – Awang Aslee
- MyGig Chapter Sabah Buka Lembaran Baharu Ekonomi – SUA My Gig
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Amaran Banjir: Reezal Merican Seru Warga Bertam, Kepala Batas Berwaspada
You must be logged in to post a comment.