Villa rai kemenangan di sebalik ketegangan di luar stadium
Villa rai kemenangan di sebalik ketegangan di luar stadium

Paris: Aston Villa menewaskan Maccabi Tel Aviv 2-0 dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi dalam perlawanan yang diselubungi kawalan keselamatan ketat di Birmingham selepas penyokong pasukan pelawat dilarang hadir atas faktor keselamatan.
Di atas padang, Villa mendahului satu minit sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan Ian Maatsen, sebelum Donyell Malen menggandakan kedudukan pada minit ke-59 untuk memastikan kemenangan selesa buat skuad kendalian Unai Emery yang kini mengumpul sembilan mata selepas empat perlawanan.
“Ia satu malam yang baik. Kami beraksi dengan fokus dan penuh hormat terhadap saingan serta pasukan lawan. Kami bermain dengan mantap dan serius,” kata pengurus Villa, Emery.
Kira-kira 700 anggota polis ditempatkan di sekitar stadium ketika penyokong pro-Palestin dan pro-Israel mengadakan tunjuk perasaan berasingan di luar Villa Park menjelang sepak mula.
Protes berkenaan berlangsung dalam keadaan aman secara keseluruhan, dengan pihak polis memaklumkan enam tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan termasuk provokasi berunsur perkauman serta kegagalan mematuhi arahan bersurai.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- PAS Lupa Diri Atau PPBM Tak Sedar Diri
- Sekali Lagi Ahmad Terrirudin Terlepas
- Jangan Sampai Keadilan Untuk Zara Qairina Menjadi Pencetus Kemarahan Rakyat Seperti Di Indonesia
Villa sebelum ini mengumumkan bahawa penyokong Maccabi tidak dibenarkan hadir ke perlawanan berkenaan selepas penilaian risiko keselamatan dijalankan oleh pihak polis.
Keputusan itu mencetuskan kritikan termasuk daripada Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang berusaha membatalkan larangan tersebut, namun kelab Israel itu kemudian memaklumkan mereka menolak tiket perlawanan berkenaan kerana kebimbangan terhadap keselamatan penyokongnya.
Awal pagi tadi, kira-kira 200 penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di satu sudut stadium sambil melaungkan “Bebaskan Palestin” serta membawa sepanduk menyeru boikot terhadap Israel dan menuntut penyingkirannya daripada bola sepak antarabangsa.
Di bahagian lain, beberapa dozen penunjuk perasaan pro-Israel berdiri sambil mengibarkan bendera Israel dan memegang poster bertulis “Hentikan Anti-Semitisme Dalam Bola Sepak.”
Dalam satu lagi aksi, Roma menewaskan Rangers 2-0 hasil jaringan separuh masa pertama oleh Matias Soule dan Lorenzo Pellegrini.
Kemenangan itu melonjakkan skuad kendalian Gian Piero Gasperini ke tangga ke-18, manakala Rangers terus terperosok di dasar carta.
Dalam malam yang suram buat kelab Glasgow, juara Scotland, Celtic, tewas 1-3 di tangan Midtjylland.
Pasukan Denmark itu kini mengungguli carta peringkat liga dengan rekod sempurna empat kemenangan dan mengumpul 12 mata penuh.
Villa rai kemenangan di sebalik ketegangan di luar stadium
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Kembalikan Sepenuhnya Kuasa Mendidik Kepada Cikgu Sekolah
- Misi Global Sumud Flotilla Gagal?
- Mampukah Anwar Membawa Malaysia Keluar Dari Masalah Kemelut Fiskal
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Berlaku Adil Dalam Membuat Kritikan
You must be logged in to post a comment.