Kembalikan Sepenuhnya Kuasa Mendidik Kepada Cikgu Sekolah
Kembalikan Sepenuhnya Kuasa Mendidik Kepada Cikgu Sekolah
Melihatkan keruntuhan akhlak murid sekolah yang semakin tidak terkawal, kali ini penulis akan cuba mengupas isu tersebut.
Belum reda dengan isu kematian Allahyarhamah adik Zara Qairina, kita dikejutkan pula dengan kes rogol murid sekolah di Melaka.
Sebagaimana kes buli adik Zara Qairina, kes rogol yang berlaku di Melaka juga berlaku dalam premis sekolah.
Lebih mengejutkan lagi, perlakuan keji itu dirakam dengan kamera talipon dan kemudiannya disebarkan.
Sebagaimana pelajar yang membuli adik Zara Qairina, timbul persoalan kepada kita, apakah pelajar yang melakukan kegiatan jenayah tersebut tidak ada walau sedikit pun rasa bersalah atas jenayah yang dilakukan?
Apa sebenarnya yang sedang berlaku di dalam sistem pendidikan negara kita?
Apakah sekolah masih lagi boleh dianggap sebagai premis yang selamat untuk anak-anak kita menimba ilmu?
Apakah sekolah masih lagi menjadi tempat untuk anak-anak kita menimba ilmu atau kini sudah menjadi tempat mendidik anak-anak kita menjadi penjenayah?
Di manakah silapnya?
Adakah ianya terletak kepada sistem pendidikan atau tenaga pengajar atau sikap ibubapa?
Perlukah Hukuman Rotan Di Perkenalkan Semula
Menteri Pendidikan, Fadzlina Sidek berkata, rotan bukan penyelesaian isu buli, masalah disiplin pelajar.
Kenyataan Fadzlina itu membayangkan seolah-olah hukuman rotan tidak boleh dijalankan kepada pelajar yang mempunyai masalah disiplin.
Penulis tidak pasti sama ada Fadzlina sedar atau tidak, tahu atau tidak, sebenarnya hukuman rotan dibenarkan di sekolah.
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 7/2003 bertarikh 29 Oktober 2003 Kementerian Pendidikan Malaysia, memberikan kuasa merotan kepada cikgu sekolah.
Jadi tidak timbul isu sama ada hukuman rotan boleh dijalankan di sekolah atau pun tidak.
Cuma kuasa merotan yang diberikan itu adalah sangat terhad dengan beberapa syarat yang ketat.
Antaranya, hukuman rotan tidak boleh dilakukan di khalayak ramai (public caning) dan hanya untuk kesalahan berat dan sederhana sahaja.
Ianya agak berbeza dengan pelaksanaan hukuman rotan sebelum itu, tetapi pokoknya, ia boleh dilaksanakan ke atas pelajar yang melanggar disiplin.
Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Abdul Rahman Arshad, pernah meminta agar syarat-syarat yang ketat itu ditarik semula.
Jika hukuman rotan boleh dijalankan di sekolah, mengapakah pihak sekolah dilihat keberatan untuk melaksanakannya?
Sikap Ibubapa Mengikat Kaki Dan Tangan Pihak Sekolah
Kita sering mendengar kes ibu atau bapa menyerang pihak sekolah hanya kerana anak mereka dirotan atau didenda.
Malah, ada antara ibubapa tersebut sehingga ke tahap mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak sekolah.
Apabila anak mereka tidak cemerlang di dalam pelajaran, kesalahan akan diletakkan seratus peratus kepada pihak sekolah.
Sedangkan di pihak mereka sendiri, tidak ada usaha atau inisiatif untuk berbincang dengan pihak sekolah untuk membaiki keadaan.
Membiarkan anak-anak hidup dengan telefon bimbit tanpa pengawasan juga adalah antara penyumbang kepada masalah keruntuhan akhlak.
Pelajar sekolah akan membudayakan hidup mereka dengan apa yang mereka tonton di sosial media.
Akhirnya sosial media akan dijadikan pendidik utama di dalam membentuk sahsiah anak-anak.
Benar, rotan bukanlah satu-satunya cara untuk mengatasi masalah disiplin pelajar, tetapi syarat ketat yang dikenakan adalah pemangkin kepada hilangnya rasa hormat dan takut pelajar kepada pihak sekolah.
Tidak mungkin seorang tukang gunting rambut boleh menggunting rambut sekiranya kita meletakkan syarat menggunting rambut tanpa menggunakan gunting.
Lebih penting lagi adalah ibubapa mesti mengubah sikap yang terlalu mudah menyalahkan pihak sekolah apabila berlakunya masalah disiplin terhadap anak mereka.
Pelajar sekolah hari ini adalah golongan pelapis kepada pemimpin di masa akan datang.
Apa akan jadi kepada negara sekiranya generasi pembuli, perogol dan penjenayah ini menjadi pemimpin negara?
Kalau kita sayangkan anak kita, kembalikan sepenuhnya kuasa mendidik kepada pihak sekolah tanpa syarat-syarat yang menyukarkan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
Kembalikan Sepenuhnya Kuasa Mendidik Kepada Cikgu Sekolah
Di Syorkan Untuk Anda:
- Misi Global Sumud Flotilla Gagal?
- Mampukah Anwar Membawa Malaysia Keluar Dari Masalah Kemelut Fiskal
- Apa Lagi Alasan Muhyiddin Kali Ini
You must be logged in to post a comment.