PAS Lupa Diri Atau PPBM Tak Sedar Diri
PAS Lupa Diri Atau PPBM Tak Sedar Diri
Muktamar PAS Pusat ke 71 kali ini dihiasi dengan beberapa sindiran pedas pemimpin utama PAS terhadap sekutu mereka di bawah payung Perikatan Nasional.
Presiden PAS, Hadi Awang, dalam kenyataannya menyebut, calon Perdana Menteri ke XI dari Perikatan Nasional sewajarnya berumur bawah 70 tahun.
Kenyataan Hadi itu boleh dianggap sebagai sindiran kepada hasrat Presiden PPBM, Muhyiddin Yasin, yang dilihat masih berselera untuk menjadi Perdana Menteri ke XI sekiranya Perikatan Nasional berjaya menubuhkan kerajaan selepas PRU 16.
Namun ketika diminta mengulas lebih lanjut, beliau berkata, kenyataan itu ditujukan kepada diri beliau sendiri.
Sementara Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hasan pula secara terbuka menyanggah hasrat Muhyiddin agar semua parti yang bernaung di bawah Perikatan Nasional menggunakan logo PN dalam PRU 16.
“Kita adalah rakan yang setara (equal partner) dalam PN, tidak ada abang besar atau abang kecil.”
“Jadi bagi PAS apa-apa berkenaan keputusan yang perlu dibuat oleh Pengerusi PN.”
“Atau sesiapa sahaja dalam PN, mesti melalui Majlis Tertinggi PN.”
“Sebab itu kita agak tidak bersetuju dengan apa-apa pengumuman sama ada berkenaan calon Perdana Menteri dan sebagainya (penggunaan logo pada PRU-16),” tegas beliau.
Lebih mengejutkan lagi adalah kenyataan keras yang dikeluarkan oleh Naib Presiden PAS yang juga merupakan Pengarah Pilihanraya PAS, Sanusi Md Nor.
“Ada parti yang mai (datang) bertanding syok saja dan dibantu oleh PAS.”
“Parti terbabit kemudian dilihat mahu menjadi ketua, namun gagal menyedari realiti kekurangan yang dialami oleh mereka.”
“Kita menghadapi rakan-rakan (dalam PN) yang bergantung kepada peralatan yang kita bayar.”
“Di sini (Kedah), saya fikir di tempat lain sama juga.”
“Satu cawangan kita minta RM120,000 untuk satu UPU (unit peti undi).”
“Sebelum ni semua peralatan itu kita bayar.”
“Depa mai bertanding syok aja.”
“Habis tu nak jadi ketua?”
“Duit tak dak, jentera tak dak, (harap) kita (PAS) semua.”
“Jangan sampai kita ungkit ke semua,” kata Sanusi.
Ibarat Retak Menanti Belah
Dengan beberapa isu yang dilihat semakin tidak dapat ditangani dengan baik, hubungan antara PAS dan PPBM ibarat retak menanti belah.
Ramai pemerhati politik berpendapat, bukanlah sesuatu yang mengejutkan sekiranya ikatan yang semakin longgar ini akan terlerai sebelum atau menjelang PRU 16.
Ada yang berpendapat, PAS dilihat semakin besar kepala selepas mendapat 43 kerusi parlimen dan menawan 4 negeri di dalam PRN 6 Negeri.
Tetapi sikap PAS sekarang dikatakan kerana tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh PPBM di dalam Perikatan Nasional.
PPBM menguasai hampir kesemua jawatan penting di dalam gabungan tersebut manakala PAS hanya diberikan jawatan Bendahari Perikatan Nasional.
Malah dikatakan, PPBM masih lagi mahu bersikap seperti abang besar tanpa menyedari segala kekurangan yang ada pada mereka.
Manakala di pihak PPBM pula, mereka mendakwa, tanpa dana pilihanraya PRU 15 yang mereka berikan kepada PAS, tidak mungkin PAS boleh mendapat kejayaan besar.
PPBM masih lagi beranggapan PAS masih berhutang budi dengan PPBM atas jasa tersebut.
Oleh itu, PAS perlu akur dengan apa sahaja kehendak dan keputusan pemimpin PPBM.
Penulis tidak pasti sama ada PAS yang lupa diri atau PPBM yang tak sedar diri.
Apa yang penulis pasti adalah hubungan kedua-dua parti dilihat semakin sukar untuk dipulihkan.
PAS Lupa Diri Atau PPBM Tak Sedar Diri
Di Syorkan Untuk Anda:
- Sekali Lagi Ahmad Terrirudin Terlepas
- Jangan Sampai Keadilan Untuk Zara Qairina Menjadi Pencetus Kemarahan Rakyat Seperti Di Indonesia
- Apakah Kuasa Raja Raja Melayu Akan Terus Di Cabar Di Mahkamah?
You must be logged in to post a comment.