Maghribi pasukan pertama Afrika layak ke Piala Dunia 2026
Maghribi pasukan pertama Afrika layak ke Piala Dunia 2026

Rabat: Maghribi menjadi pasukan Afrika pertama menempah tiket ke Piala Dunia 2026 selepas membelasah Niger 5-0 dalam aksi Kumpulan E di Rabat awal pagi tadi.
Skuad kendalian Walid Regragui itu memastikan kemenangan keenam berturut-turut, mengutip 18 mata untuk mendahului Tanzania dengan kelebihan lapan mata sekali gus sah layak ketika masih berbaki dua perlawanan.
Pertemuan ini berpihak kepada Maghribi seawal minit ke-18 apabila Niger beraksi dengan 10 pemain selepas Abdul-Latif Goumey dibuang padang. Ismael Saibari pantas memanfaatkan kelebihan dengan dua gol di babak pertama.
Ayoub el Kaabi, Hamza Igamane dan Azzedine Ounahi kemudian menambah jaringan di separuh masa kedua untuk melengkapkan pesta gol Maghribi. Daripada senarai penjaring, hanya Ounahi membarisi skuad yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.
Maghribi mencipta sejarah dua tahun lalu apabila menewaskan gergasi Eropah seperti Sepanyol dan Portugal sebelum tewas 2-0 kepada Perancis di separuh akhir. Namun kali ini, Regragui membawa masuk beberapa muka baharu termasuk Saibari dari PSV Eindhoven.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
Dalam Kumpulan A, Mesir menang 2-0 ke atas Habsyah di Kaherah hasil sepakan penalti Mohamed Salah dan Omar Marmoush. Kemenangan ke atas Burkina Faso pada Selasa ini akan mengesahkan tempat Mesir ke Piala Dunia.
Sementara itu, Yoane Wissa yang baru menyertai Newcastle United dari Brentford dengan nilai perpindahan 50 juta pound (RM339 juta), meledak gol ketika Republik Demokratik Congo menewaskan Sudan Selatan 4-1 di Juba. DR Congo kini memburu penampilan pertama di Piala Dunia sejak edisi 1974 ketika mereka dikenali sebagai Zaire.
Senegal pula mengekori rapat di belakang dengan hanya satu mata selepas menang 2-0 ke atas Sudan menerusi jaringan Kalidou Koulibaly dan Pape Matar Sarr. Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi penentuan di Kinshasa Selasa nanti.
Dalam Kumpulan C, Afrika Selatan mengekalkan kelebihan lima mata di tangga teratas selepas menundukkan Lesotho 3-0 di Bloemfontein. Mohau Nkota membuka tirai jaringan sebelum Lyle Foster dan Oswin Appollis menambah dua gol lagi pada babak kedua. Namun, Bafana Bafana berdepan kebimbangan kecederaan pertahanan Nyiko Mobbie dan Thabo Moloisane menjelang pertemuan penting menentang Nigeria.
Dalam aksi lain, Gambia mengejutkan Kenya 3-1 di Nairobi hasil jaringan pemain sayap Brighton, Yankuba Minteh, manakala Guinea menang 3-0 ke atas Somalia dengan penyerang Borussia Dortmund, Serhou Guirassy, akhirnya membuka akaun gol kelayakan.
Namun, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Algeria bermakna peluang Guinea semakin tipis.
Maghribi pasukan pertama Afrika layak ke Piala Dunia 2026
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Apakah Kuasa Raja Raja Melayu Akan Terus Di Cabar Di Mahkamah?
- Mampukah Slogan Saya Anti Buli Menoktahkan Jenayah Buli Di Sekolah?
- Apakah Ada Sinar Untuk DS Najib Pada 13 Ogos Ini?
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Jangan Sampai Keadilan Untuk Zara Qairina Menjadi Pencetus Kemarahan Rakyat Seperti Di Indonesia
You must be logged in to post a comment.