245 penumpang, pemandu bas ekspres gagal pakai tali pinggang keledar – JPJ Kelantan

245 penumpang, pemandu bas ekspres gagal pakai tali pinggang keledar – JPJ Kelantan

Mohd Misuari melakukan pemeriksaan pemakaian tali pinggang keledar membabitkan bas ekspres dan persiaran. - Foto ihsan JPJ Kelantan
Mohd Misuari melakukan pemeriksaan pemakaian tali pinggang keledar membabitkan bas ekspres dan persiaran. – Foto ihsan JPJ Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 245 kes berhubung kegagalan pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran memakai tali pinggang keledar seperti mana yang ditetapkan.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata kes itu direkodkan dalam tempoh sepanjang bulan lalu hasil penguatkuasaan dilakukan.

“Sepanjang tempoh itu, kita menjalankan pemeriksaan terhadap 838 bas ekspres dan 151 bas persiaran.

“Daripada pemeriksaan itu, 244 kes kesalahan direkodkan membabitkan bas ekspres dengan kebanyakannya penumpang tidak memakai tali pinggang keledar dan masing-masing empat kes membabitkan pemandu bas selain empat kes lagi bas berkenaan gagal memasang tali pinggang keledar.

“Satu kes kesalahan direkodkan membabitkan bas persiaran iaitu pemandu bas itu sendiri tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Katanya, hasil rumusan daripada sepanjang operasi yang dijalankan mendapati 90 peratus kes dikesan melalui penumpang remaja yang kurang peka dan kesedaran terhadap keselamatan diri semasa berada di dalam bas.

“Lapan peratus kes dikesan melalui pemandu bas yang leka dan mengabaikan pemakaian tali pinggang semasa memandu bas dan satu peratus lagi kes dikesan melalui penumpang bukan warga negara iaitu pelancong yang datang melancong di negara ini.

“Bagi meningkatkan lagi kesedaran pentingnya pemakaian tali pinggang, JPJ Kelantan sudah mengarahkan agar petugas kaunter dan pemandu bas membuat pengumuman pemakaian tali pinggang sebelum bas memulakan perjalanan.

“Kaedah ini dilihat berkesan untuk memberi peringatan kepada penumpang dan sekali gus dapat mengelakkan daripada penumpang dikenakan tindakan saman.

“JPJ Kelantan ingin mengingatkan kepada semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran untuk sentiasa mematuhi peraturan ini serta memastikan semua kenderaan (bas) dilengkapi dengan sistem tali pinggang keledar yang berfungsi dengan baik,” katanya.

 

245 penumpang, pemandu bas ekspres gagal pakai tali pinggang keledar – JPJ Kelantan

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Apa Lagi Yang Tengku Maimun Cuba Buktikan

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker