Selepas Himpunan Turun Anwar, Apakah Ada Langkah Seterusnya?
Selepas Himpunan Turun Anwar, Apakah Ada Langkah Seterusnya?
Akhirnya Perikatan Nasional berjaya juga menganjurkan Himpunan Turun Anwar yang acara kemuncaknya dilakukan di Kuala Lumpur.
Sebelum perhimpunan kemuncak di Kuala Lumpur, Perikatan Nasional sebenarnya sudah mengadakan beberapa siri promosi di seluruh negara.
Tahniah kepada penganjur kerana berjaya mengawal disiplin peserta di mana sepanjang perhimpunan, tiada tindakan provokosi antara peserta dan pihak berkuasa.
Namun begitu, hasrat Perikatan Nasional untuk melihat jumlah penyertaaan sekurang-kurangnya hampir menyamai perhimpunan ICERD 2019, gagal.
Jauh dari jangkauan, jumlah yang menyertai Himpunan Turun Anwar dikatakan cuma sekitar 50,000 orang.
Tidak sebagaimana yang Shahidan Kassim war-warkan, ianya akan menjangku sekurang-kurangnya 500,000 orang.
Pada pandangan penulis, antara faktor Perikatan Nasional gagal mencapai matlamat penyertaan rakyat berbanding ICERD adalah kerana matlamat Himpunan Turun Anwar tidak jelas.
Perhimpunan menentang ICERD 2019 berjaya menarik penyertaan sehingga 500,000 orang adalah kerana mempunyai matlamat yang cukup jelas.
Ia berkaitan dengan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, kedaulatan Raja Raja Melayu, kedudukan bangsa dan bahasa Melayu.
Rakyat mahu memberi mesej yang jelas kepada kerajaan Pakatan Harapan ketika itu supaya jangan menggugat 4 perkara teras di dalam perlembagaan.
Sekiranya kerajaan meneruskan juga raktifikasi ICERD, maka jutaan rakyat akan turun ke jalanraya.
Berbeza dengan Himpunan Turun Anwar, rakyat tertanya-tanya, apakah tujuan sebenar perhimpunan diadakan.
Kedudukan Anwar sebagai perdana menteri tidak tergugat dan kerajaan yang ada tidak tumbang.
Jadi, apa sebenarnya tujuan Himpunan Turun Anwar diadakan?
Dari sudut perlembagaan, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas:
- Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka
Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri. - Melainkan jika atas permintaannya parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Untuk apa serta untuk siapa sebenarnya Himpunan Turun Anwar diadakan?
Strategi Politik Yang Salah
Dari sudut strategi politik, sebenarnya Perikatan Nasional membuat kesilapan besar dengan menganjurkan Himpunan Turun Anwar terlalu awal.
Kerajaan yang memerintah sekarang, baru berada di pertengahan jalan menuju ke Pilihan Raya Umum ke 16.
Anwar dan kerajaan pimpinan beliau masih ada masa kira-kira 2 setengah tahun untuk meneutralisasikan kemarahan rakyat yang dicetuskan dalam Himpunan Turun Anwar.
Sepatutnya, sekiranya benar matlamat utama perhimpunan tersebut adalah untuk menghukum Anwar kerana kegagalan beliau, ianya diadakan di penghujung penggal.
Ketika itu, Anwar sudah kesuntukan masa untuk meredakan kemarahan rakyat.
Kita imbas kembali apa yang terjadi sebelum dan selepas perhimpunan menentang ICERD 2019.
Sebelum perhimpunan menentang ICERD, semua pilihanraya kecil yang diadakan, dimenangi dengan bergaya oleh Pakatan Harapan.
Tetapi selepas perhimpunan menentang ICERD, kesemua pilihanraya kecil yang diadakan di sapu bersih oleh pembangkang ketika itu.
Kenapa perkara itu berlaku?
Tidak boleh dinafikan, pengundi Malaysia masih belum matang dan masih lagi mengundi dengan emosi.
Kemarahan rakyat yang berjaya dicetuskan selepas perhimpunan menentang ICERD, telah diterjemahkan di peti undi.
Persoalan yang lebih besar sekarang, apakah politikus berpengalaman seperti Dr Mahathir, Muhyiddin Yasin dan Hadi Awang boleh terlepas pandang?
Mengapa mereka tergesa-gesa untuk menggerakkan perhimpunan ini walau pun mereka tahu ianya tidak akan memberikan apa-apa hasil?
Jadi, Himpunan Turun Anwar diadakan untuk apa serta untuk siapa sebenarnya?
Perlukah Anwar Berundur?
Timbul persoalan sekarang ini, selepas Himpunan Turun Anwar diadakan, perlukah Anwar melepaskan jawatan perdana menteri?
Dari sudut perlembagaan, tidak ada sebab mengapa Anwar mesti berundur kerana beliau masih lagi mempunyai majoriti sokongan ahli parlimen.
Tetapi kelayakan untuk terus memegang jawatan perdana menteri tidak hanya memerlukan sokongan majoriti ahli parlimen.
Perdana Menteri adalah ketua kerajaan sesebuah negara.
Untuk suara negara didengari dan diambil perhatian di pentas dunia, beliau mesti mempunyai mandat yang kuat dari rakyatnya.
Begitu juga untuk mendapatkan keyakinan pelabur asing, seseorang perdana menteri mesti membuktikan kestabilan politik di negaranya adalah kukuh.
Lebih penting lagi, beliau juga mesti membuktikan kedudukan beliau sebagai perdana menteri adalah kukuh.
Sudah menjadi kelaziman, setiap kali pemimpin utama negara, maka dasar negara akan turut berubah.
Inilah yang paling ditakuti oleh pelabur asing.
Maka, dari sudut asas moral, Anwar sebenarnya sudah hilang kelayakan untuk menjadi perdana menteri.
Tidak ada negara yang akan dengar suara Anwar apabila sudah tersebar di seluruh dunia, Anwar ditolak oleh rakyat sendiri.
Akan timbul naratif Anwar adalah seorang diktator yang memanipulasi demokrasi.
Rasa hormat negara luar terhadap Malaysia akan terhakis.
Lebih buruk lagi, negara ASEAN juga akan turut terpalit sama kerana ketika ini, Malaysia adalah pengerusi negara ASEAN.
Tetapi sekiranya Anwar turun, siapakah yang layak untuk menggantikan beliau ketika ini?
Dr Mahathir, Muhyiddin atau Hadi Awang?
Dr Mahathir dan Muhyiddin pernah menjadi perdana menteri dan Hadi Awang pula pernah menjadi pemimpin utama parti di dalam kerajaan.
Cuba kita renungkan, apakah kita mempunyai kehidupan yang lebih baik dari sekarang ketika mereka berkuasa?
Selepas Himpunan Turun Anwar, Apakah Ada Langkah Seterusnya?
Di Syorkan Untuk Anda:
- Menuduh 160 Ketua UMNO Bahagian Biadab Adalah Sangat Tidak Beretika
- Pelantikan Semula Tengku Maimun Bukan Penyelesaian Kredibiliti Institusi Kehakiman
- Perlukah UMNO Terima Hishamuddin Hussien?
You must be logged in to post a comment.