Nelayan maut dipanah petir

Nelayan maut dipanah petir

Nelayan maut dipanah petir
Foto hiasan

KANGAR: Seorang nelayan maut selepas dipanah petir ketika dalam perjalanan pulang dari memukat udang di perairan Perlis di Kuala Sungai Padang, Simpang Empat, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.50 malam, mangsa Muhamad Faiez Othman, 28 dari Kuala Sanglang meninggal dunia dalam bot nelayan yang dinaikinya bersama seorang lagi rakannya yang juga awak bot nelayan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, mangsa sebelum itu keluar untuk memukat udang di sekitar pesisiran pantai Kuala Sungai Padang sekitar jam 7 malam bersama rakannya itu.

“Mangsa dan rakannya keluar menaiki bot dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang namun sekitar jam 9.50 malam cuaca hujan beserta kilat di kawasan mereka memukat udang.

“Mangsa kemudian mengambil keputusan untuk pulang semula ke Jeti LKIM Kuala Sanglang dan dalam perjalanan pulang itu tiba-tiba kilat menyambar di sekitar kawasan bot yang menyebabkan mangsa rebah terlentang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Ayuh Malaysia, Kita Merajuk


Katanya, rakan mangsa terus bertindak menutup enjin bot sebelum mendekati mangsa yang didapati terbaring dan tidak bergerak.

“Rakan mangsa kemudian memanggil rakan nelayan yang berada di sekitar kawasan itu sebelum menghubungi abang kepada mangsa yang berada di daratan untuk meminta bantuan.

“Nelayan lain kemudian membantu membawa mangsa ke jeti LKIM sebelum sebuah ambulans tiba dari Klinik Kesihatan Kuala Sanglang membawa mangsa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa memakai seluar pendek berwarna hitam serta tidak berbaju dan pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati mangsa mengalami pendarahan di telinga sebelah kiri serta melecur di bahagian paha sebelah kanan.

“Mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HTF untuk proses bedah siasat,” katanya.

 

Nelayan maut dipanah petir

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker