Zidane hanya miliki satu impian
Oleh – Syeikh Baran
Jurulatih berpengaruh, Zinedine Zidane bersedia untuk terus menolak mana-mana kelab yang ‘merisik’ pada tahun 2025 nanti sehinggalah mendapat tawaran yang diidamkan untuk menjadi pengendali skuad kebangsaan Perancis.
Sebagai rekod, bakat jurulatih yang ada pada Zidane semakin ‘berkarat’ selepas lebih tiga tahun tidak membimbing mana-mana pasukan sejak berpisah dengan kelab gergasi La Liga, Real Madrid pada 2021.
Menurut beberapa spekulasi, Zidane telah dikaitkan untuk kembali bersama Real pada masa terdekat sekiranya pengendali berpengalaman, Carlo Ancelotti gagal mempamerkan prestasi konsisten bersama The Galacticos musim ini.
Namun, Zidane didakwa masih tidak berminat kerana hanya menantikan tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF) meskipun posisi ketua jurulatih yang disandang Didier Deschamps ketika ini masih ‘kebal’ sehingga berakhir kempen Piala Dunia 2026 nanti.
Bekas rakan sepasukan Zidane dalam skuad Les Bleus, Christophe Dugarry mengakui pemain legenda yang juga bekas pemenang Ballon d’Or itu terlalu menginginkan jawatan menjadi pengendali pasukan kebangsaan.
Dugarry berkata, beberapa tawaran daripada kelab gergasi Eropah telah ditolak sebelum ini selain Zidane turut tidak berminat untuk berkelana ke Liga Pro Arab Saudi meskipun mendapat gaji yang cukup lumayan.
“Secara terbuka, Zidane hanya menyatakan minat untuk menjadi pengendali skuad kebangsaan Perancis. Dia sudah menantikan jawatan itu sejak sekian lama meskipun sering ditolak FFF.
“Namun, Zidane kekal bertegas dan tidak kisah untuk terus menjadi penganggur kerana dia tidak mahu menjadi jurulatih kelab lain atau berkelana ke Arab Saudi,” katanya. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.