‘Saya baru saja bekerja, isteri baru mengandung..’

Oleh – Syeikh Baran

'Saya baru saja bekerja, isteri baru mengandung..'

“Saya baru saja bekerja, isteri baru mengandung”.

Itu rayuan Muhammad Syafiq Jefri, 28, di Mahkamah Majistret di sini ketika memohon hukuman ringan selepas dia mengaku bersalah memandu secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi melawan arus serta tidak berhenti di lampu isyarat merah dan persimpangan.

Pekerja kedai makan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) melakukan kesalahan berkenaan ketika memandu sebuah kereta Proton Saga bernombor pendaftaran JNC 3106 di Jalan Lingkaran Dalam, jam 3.45 pagi Jumaat lalu.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 untuk kesalahan pertama, selain pesalah dilarang memiliki atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.

Pendakwaan kes di hadapan Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S Vikineswary, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

S Vikineswary memberitahu mahkamah, tertuduh memandu kereta dalam keadaan melulu dan berbahaya, melakukan pusingan U di laluan yang tidak dibenarkan dan melawan arus kerana lari dari sekatan jalan raya.

“Tertuduh kemudian membuat aksi zig-zag dan mencelah-celah kenderaan lain yang mana ia berbahaya kepada dirinya sendiri dan juga pemandu lain. Tertuduh juga tidak berhenti di lampu isyarat merah,” katanya.

Tertuduh kena penjara 10 hari, denda RM10,000

Selepas mendengar pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, Mohammad Izham kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 hari ke atas Muhammad Syafiq, berkuat kuasa hari ini dan denda RM10,000 atau tambahan penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.

Hukuman lain dikenakan mahkamah, lesen memandu tertuduh diendors oleh mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dan jika memiliki lesen percubaan, ia akan dibatalkan oleh mahkamah.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker