Jerat pelaburan hotel, pengurus kilang rugi RM943,250

Oleh – Syeikh Baran

Jerat pelaburan hotel, pengurus kilang rugi RM943,250

Gara-gara termakan janji pulangan pelaburan menguntungkan dalam tempoh yang singkat, seorang pengurus kilang terpaksa menelan perit apabila wang simpanan RM943,250 kena kebas scammer.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, wanita yang berusia 53 tahun mula terjerat dengan sindiket penipuan apabila nombor telefonnya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp oleh individu tidak dikenali sekitar Mei lalu.

Menurutnya, kumpulan WhatsApp berkenaan menawarkan pelaburan dalam industri perhotelan yang menjanjikan pulangan tinggi, mudah dan jangka masa yang singkat.

“Tertarik dengan kadar keuntungan yang dijanjikan, mangsa telah membuat pembayaran pelaburan secara dalam talian ke beberapa akaun berjumlah RM943,250 antara September hingga Oktober lalu.

“Setelah selesai membuat bayaran, mangsa telah dimaklumkan pelaburan pengadu telah mencatatkan keuntungan RM600,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata, bagaimanapun suspek telah memberitahu bahawa sekiranya mangsa ingin mengeluarkan keuntungan, mangsa perlu membuat bayaran tambahan.

Ujarnya, namun mangsa tidak membuat bayaran tersebut selepas merasakan dirinya telah tertipu sebelum membuat laporan polis pada Sabtu lalu.

Susulan laporan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker