Dr. Maza nafi fitnah peniaga nasi kandar

Oleh – Syeikh Baran

Dr. Maza nafi fitnah peniaga nasi kandar

Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menafikan beliau memfitnah seorang peniaga nasi kandar di akaun Facebook berhubung insiden kebakaran kereta miliknya yang membabitkan lelaki itu dengan aktiviti pengganas lima tahun lalu.

Mohd. Asri atau yang lebih dikenali sebagai Dr. Maza berkata, kenyataan itu diterbitkan bukan menerusi akaun Facebook peribadi milik Mohd. Asri, sebaliknya ia diterbitkan di akaun Facebook DrMAZA.com yang mana beliau bukan pemilik atau pengendali akaun tersebut.

“Saya bukan pemilik atau pentadbir atau pengarang kepada akaun DrMAZA.com yang mana saya percaya ia adalah sebuah akaun halaman Facebook (page Facebook). Kenyataan tersebut dilakukan oleh admin atau pentadbir akaun DrMAZA.com dan bukanlah diterbitkan oleh saya,” katanya menjawab tuntutan saman yang dikemukakan peniaga nasi kandar itu Ahmad Muzaini Mydin selaku plaintif.

Mohd. Asri turut menegaskan beliau tidak pernah memberi sebarang arahan kepada pentadbir akaun DrMAZA.com atau mana-mana pihak untuk menerbitkan kenyataan tersebut.

“Saya berada di Sabah dan tidak berada bersama dengan pentadbir akaun DrMAZA.com semasa kenyataan tersebut di lakukan dan saya tiada sebarang pengetahuan khusus tentang kenyataan itu,” jelasnya.

Terdahulu Ahmad Muzaini Mydin ,38, memfailkan saman RM1 juta terhadap Mohd. Asri kerana memfitnah apabila mengaitkannya dalam kejadian kebakaran kereta Mohd. Asri dengan aktiviti pengganas lima tahun lalu.

Ahmad Muzaini selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Ku Nur Farahi & Co pada 7 Jun lalu di Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis dengan menamakan Mohd. Asri sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media plaintif mendakwa, pada bulan Mac 2019,
terdapat satu insiden di mana kereta milik defendan terbakar di pekarangan rumahnya.

Lanjutan kejadian itu, defendan membuat kenyataan di media sosial mengaitkan kejadian itu dengan pengganas yang boleh mengancam nyawa.

Berdasarkan kenyataan tersebut, defendan menyatakan bahawa terdapat dua individu yang dikesan menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) yang merupakan pelaku dalam kejadian tersebut dan juga merupakan perbuatan pengganas.

Dakwa plaintif pada 22 Mei 2019, defendan kemudian membuat satu lagi hantaran baharu, dengan mengaitkan nama plaintif dan seorang lagi lelaki, telah ditahan berhubung kes kebakaran keretanya selain memetik unsur-unsur perbezaan politik.

Ia antaranya, menggambarkan plaintif adalah seorang pengganas, diupah untuk mencederakan defendan dengan menggunakan asid, seorang ekstrimis yang menghalalkan kemusnahan harta.

Justeru Ahmad Muzaini menuntut mufti itu membuat permohonan maaf di akhbar dan media sosial, termasuk akujanji untuk berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan dan memfitnah, di masa hadapan.

Plaintif juga meminta ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teruk selain injunksi terhadap defendan sama ada melalui dirinya, keluarga walau apa cara sekalipun dihalang dari membuat, menerbitkan atau menyebabkan atau seumpanya memfitnah plaintif.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker