Pembantu kedai panjat meja, lari daripada penyamun

Oleh – Syeikh Baran

Pembantu kedai panjat meja, lari daripada penyamun

Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat kejadian samun di sebuah kedai runcit di Jalan Pokok Machang, Tasek Gelugor yang tular dalam media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang pengadu iaitu wanita tempatan kira-kira pukul 9.10 malam.

“Wanita terbabit melaporkan pekerjanya iaitu seorang lelaki warga negara Pakistan telah terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan parang oleh seorang lelaki tempatan yang menunggang motosikal namun tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya.

“Televisyen litar tertutup (CCTV) berhampiran merakamkan kejadian terbabit. Terdapat juga saksi kejadian namun wajah suspek tidak jelas kerana memakai topi keledar dan topeng muka berwarna gelap,” katanya malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerugian wang hasil jualan kedai itu dianggarkan sebanyak RM2,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Petang tadi, rakaman video kejadian terbabit yang tular dalam media sosial menunjukkan seorang lelaki yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang memasuki premis itu menyebabkan pekerja kedai memanjat kaunter dan melarikan diri.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker