Guru tampar anak, waris minta pampasan hampir RM20,000
Oleh – Syeikh Baran
Seorang guru sebuah sekolah rendah di Wonosobo, wilayah Jawa Tengah diminta memberi keterangan di balai polis selepas waris seorang murid membuat laporan terhadapnya, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Guru pendidikan jasmani dikenali sebagai Marsono itu didakwa menampar seorang pelajar ketika mahu meleraikan pergaduhan sesama murid ketika bersukan.
Ibu pelajar berkenaan, Ayu Sondakh kemudian membuat laporan polis selepas anaknya mengadu ditampar guru berkenaan.
Dia juga menuntut ganti rugi sebanyak 70 juta rupiah (RM19,500) daripada Marsono atas perbuatannya selain permohonan maaf.
Bagaimanapun, selepas berita mengenainya menjadi tular dengan ramai yang berpihak kepada Marsono, kedua-dua pihak akhirnya berdamai.
Hasil perbincangan yang diaturkan oleh Polis Wonosobo semalam berjaya menyelesaikan masalah yang berlarutan itu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Wonosobo, Asisten Komisioner Polis Arif Kristiawan berkata, proses perbincangan berjalan lancar tanpa ada pihak saling membuat tuntutan, manakala laporan yang dibuat ditarik balik.
“Alhamdulillah, penyelesaian dicapai. Kedua-dua pihak sudah saling memaafkan,” katanya. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE