Tingkat risiko kanser

Oleh – Syeikh Baran

Tingkat risiko kanser

Pengambilan berlebihan buah-buahan yang terdedah kepada racun makhluk perosak (RMP) atau dikenali sebagai pestisid boleh meningkatkan risiko pelbagai jenis kanser seperti payudara, prostat, leukemia dan lain-lain.



Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Safiya Amaran berkata, kajian menunjukkan residu pestisid kerap ditemui dalam sampel buah-buahan yang diuji dan adakalanya ia melebihi nilai maksimum residu RMP yang dibenarkan.

Kerana itu menurutnya, penggunaan pestisid boleh menimbulkan risiko kesihatan jangka panjang jika dimakan dalam kuantiti berlebihan.

“Risiko kesihatan lain termasuk gangguan kepada sistem hormon. Ia boleh menyebabkan gangguan perkembangan pada kanak-kanak, kecacatan kelahiran serta masalah sistem pembiakan.

“Terdapat juga potensi kesan neurologi seperti sakit kepala, kekeliruan dan kelemahan otot, disebabkan oleh bahan kimia tertentu yang mengganggu fungsi saraf.



“Di samping itu, campuran pelbagai jenis pestisid pada satu buah boleh membebankan fungsi hati dan buah pinggang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung amaran dikeluarkan Rangkaian Amaran Racun Perosak Thailand (Thai-PAN) mengenai pencemaran anggur Shine Muscat selepas kebanyakan sampel yang dikumpulkan didapati mengandungi sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum dibenarkan.

Mengulas lanjut, Dr Safiya menjelaskan, Shine Muscat atau anggur premium tanpa biji berasal dari Jepun itu kaya dengan antioksida seperti vitamin C dan polifenol yang membantu melawan radikal bebas, mengurangkan risiko penyakit jantung dan memperbaiki kesihatan kulit selain kaya dengan serat yang baik untuk sistem pencernaan.“Bagaimanapun, anggur ini mungkin terdedah kepada pestisid seperti chlorpyrifos, captan dan dimethoate untuk kawalan hama.

“Selain anggur, kebanyakan buah-buahan dirawat dengan pestisid bagi meningkatkan hasil dan memanjangkan jangka hayat,” katanya.



Sehubungan itu katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai dinasihatkan agar memastikan buah-buahan dicuci dengan sempurna di bawah air yang mengalir, berbanding mencuci dengan cara merendam di dalam air bertakung.

“Selain itu mengupas kulit juga dapat merendahkan risiko termakan kotoran, bakteria dan residu pestisid walaupun tidak 100 peratus.

“Satu lagi cara ialah dengan memilih buah-buahan organik yang boleh membantu mengurangkan pendedahan kepada residu pestisid ini namun biasanya harganya adalah jauh lebih mahal,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker