Subkontraktor didenda RM5,000 tipu baiki kuarters polis marin

Oleh – Syeikh Baran

Subkontraktor didenda RM5,000 tipu baiki kuarters polis marin

Seorang subkontraktor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi, empat tahun lalu.



Tertuduh, Mohd. Farid Wajdi Harun, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lima bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut. Dia menjelaskan denda dikenakan.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai subkontraktor kepada syarikat Lembah Dimensi Enterprise didakwa secara tidak jujur menipu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Zailani Mohd. Yusoff.

Tertuduh didakwa memperdayanya untuk mempercayai bahawa kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters lama PPM Langkawi telah siap dijalankan, sedangkan dua unit ‘hook’ besi ikat anjing dan 19 unit paip air dan hose yang berjumlah RM2,260 tidak dipasang.

Dia dituduh dengan curang mendorong mangsa menurunkan tandatangan pada invois syarikat tersebut bertarikh 13 Oktober 2020 bagi pengesahan siap kerja untuk tujuan pembayaran.



Kesalahan itu didakwa dilakukan di IPK Kedah, di sini pada 13 Oktober 2020.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan memandangkan dia perlu menyara empat anak serta ibu bapanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin bagaimanapun mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker