Skim piramid ‘topeng’ penjenayah kewangan
Oleh – Syeikh Baran
Penjenayah kewangan kini dikesan berselindung di sebalik skim piramid sebagai platform memperdaya rakyat Malaysia menerusi penyediaan aplikasi khusus, kononnya bagi kemudahan ahlinya berbelanja.
Skim piramid juga antara empat kaedah digunakan penjenayah kewangan untuk menjalankan aktiviti pengubahan wang haram, selain penggunaan akaun keldai, dokumen perniagaan palsu dan mewujudkan syarikat hadapan (front company) serta syarikat cengkerang (shell company).
Ini bagi mengelakkan mereka dikesan dan diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata penganjur skim piramid biasanya menawarkan pelbagai kemudahan tambahan bagi menarik ahli seperti membeli barangan dengan menggunakan mata ganjaran atau pakej tertentu.
“Pelabur biasanya akan lebih yakin dengan penggunaan teknologi aplikasi semasa sedangkan skim ini bergerak tanpa sebarang aktiviti ekonomi yang sah di mana ia memerlukan peserta untuk merekrut ahli baharu bagi mendapatkan keuntungan.
“Ini membawa kepada rantaian penipuan berbilang tingkat, di mana ahli baharu ditipu untuk mempercayai bahawa mereka akan memperoleh keuntungan besar, sedangkan hakikatnya mereka akhirnya akan kehilangan wang,” katanya kepada BH.
Azman menambah, skim piramid turut disyaki digunakan sebagai alat untuk mengubah wang haram dengan penganjur mudah memadamkan jejak kewangan daripada dikesan pihak berkuasa.
“Wang diperoleh daripada aktiviti jenayah seperti pengedaran dadah atau penipuan lain boleh dicuci melalui aktiviti yang bercirikan skim piramid, menjadikan ia kelihatan seperti pendapatan sah.
“Eksploitasi kewangan berlaku dalam skim ini apabila mangsa diminta buat pelaburan besar dengan janji pulangan yang tidak realistik. Apabila skim gagal, pelabur menghadapi kerugian kewangan yang besar,” katanya.
Ancam kestabilan ekonomi
Katanya, skim piramid bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan kepada individu, tetapi juga mengancam kestabilan ekonomi dan menyumbang kepada pelbagai jenayah kewangan di negara ini.
Azman turut berkata, ada trend peningkatan dalam pembukaan kertas siasatan membabitkan AMLA oleh KPDN sejak 2016 hingga tahun ini.
Pada 2016, 10 kertas siasatan dibuka diikuti 2017 (4), 2018 (9), 2019 (12), 2020 (4), 2021 (8), 2022 (9), 2023 (15) dan 2024 (2).
“Berdasarkan statistik penguatkuasaan bagi tindakan kes di bawah AMLA bermula 2021 sehingga 2024 sebanyak RM18,537,017.89 sudah disita KPDN.
“Ia merangkumi kenderaan dan wang tunai, harta alih dalam institusi kewangan, iaitu akaun bank dan harta tak alih seperti bangunan.
“Sejumlah RM29,428,426.86 dibekukan di bawah AMLA oleh KPDN, bermula 2021 sehingga 2024 yang merangkumi harta alih seperti kenderaan dan harta tidak alih dalam institusi kewangan iaitu akaun bank,” katanya.
Azman berkata, selain skim piramid KPDN juga mengesan sekurang-kurangnya tiga lagi cara untuk digunakan penjenayah kewangan untuk memadamkan jejak kewangan daripada dikesan pihak berkuasa.
Menerusi akaun keldai, penjenayah menggunakan modus operandi utama menerusi akaun bank milik individu lain untuk melakukan transaksi kewangan.
“Penjenayah mencipta dokumen perniagaan palsu seperti invois bagi membuktikan transaksi perniagaan dijalankan adalah sah di sisi undang-undang.
“Selain itu, kita mengesan mereka juga mewujudkan pelbagai syarikat yang mempunyai peranan dan tujuan berbeza, khususnya dalam konteks perniagaan dan kewangan.
“Syarikat hadapan pula digunakan untuk menutup operasi sebenar yang mungkin tidak sah atau untuk menyembunyikan pemilik sebenarnya dan ia akan beroperasi seolah-olah menjalankan perniagaan sah untuk mengaburi pihak berkuasa atau pihak ketiga.
“Syarikat cangkerang digunakan secara sah, tetapi tidak mempunyai operasi perniagaan sebenar, harta atau pekerja. Ia sering digunakan untuk tujuan kewangan tertentu,” katanya.
Sumber – BERITA HARIAN