Kes penipuan emas Siti Hajartul: 2 lagi suspek tipu emas ditahan

Oleh – Syeikh Baran

Kes penipuan emas Siti Hajartul: 2 lagi suspek tipu emas ditahan

Polis menahan dua lagi individu yang terbabit dalam penipuan pelaburan emas ‘pa jewellery’ dan ‘paddy jewellery’ yang membabitkan kerugian puluhan juta ringgit.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dua lelaki terbabit ditahan semalam bagi membantu kes itu selepas dalangnya, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 37, ditahan sebelum ini.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan polis sudah menahan lima orang termasuk dalang utama Siti Hajartul Haini Abd Hamid dalam serbuan berasingan di Kedah dan Kuala Lumpur serta merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama.

Ramli dilaporkan berkata, empat individu yang ditahan itu terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 38 tahun.



“Sehingga kini, sejumlah 69 laporan polis diterima berkaitan penipuan pelaburan ini membabitkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM48.5 juta.

“Siasatan mendedahkan skim pelaburan ini menawarkan lima pakej pelaburan yang berbeza dengan pulangan berdasarkan harga emas semasa,” katanya.

Difahamkan satu sidang media berkaitan kes ini akan dibuat di Kedah esok.

Muka depan Metro Ahad sebelum ini melaporkan lebih 100 mangsa berputih mata apabila kerugian lebih RM110 juta selepas diperdaya dengan harga emas 916 yang lebih rendah dari pasaran oleh wanita dikenali Siti Hajartul Haini Abd Hamid sejak dua bulan lalu.



Kebanyakan mangsa yang bekerja di satu unit di sebuah hospital awam di Lembah Klang selain guru di beberapa negeri, kini diburu kerana menjadi orang tengah yang mengumpul wang berkenaan.

Sama seperti skim kutu yang memperdaya mangsa sebelum ini, pelabur ditawarkan dengan harga murah sehingga ada yang sanggup meminjam daripada saudara mara, rakan dan peminjam wang tanpa lesen semata-mata merebut ‘tawaran hebat’ terbabit.

Kebanyakan mangsa tampil membuat laporan kepada Pengarah Advokasi Khidmat Guam Dr Mahmud Jumaat untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker