Suami isteri Rohingya pecah rumah di Kota Tinggi didakwa

Oleh – Syeikh Baran

Suami isteri Rohingya pecah rumah di Kota Tinggi didakwa

Pasangan suami isteri etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 21 pertuduhan melakukan jenayah pecah rumah dan menyimpan barang curi sekitar Kota Tinggi dan Mersing sejak Mac hingga September lalu.



Tertuduh, Muhammad Ibrahim Md. Yusof, 24, dan isterinya, Norjahan Ismail, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibaca secara berasingan di hadapan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Norjahan didakwa atas 13 pertuduhan melakukan pecah rumah dan menyimpan harta curi melibatkan wang tunai dan barangan kemas di sekitar Kota Tinggi dan Mersing antara Mac hingga September 2024.

Manakala Muhammad Ibrahim pula didakwa atas 11 pertuduhan melakukan pecah rumah dan menyimpan harta curi melibatkan wang tunai dan barangan kemas di sekitar Kota Tinggi antara Mac 2024 hingga September 2024.

Atas semua kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu di mahkamah sama, tiga anak perempuan Norjahan yang kesemuanya masih dibawah umur serta seorang menantunya, Mohamad Jamal, 19, yang juga etnik Rohingya berdepan satu pertuduhan masing-masing kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.



Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Jamal serta tiga kanak-kanak perempuan yang berusia 13, 14 dan 17 tahun itu didakwa telah berada dalam negara tanpa memiliki pas perjalanan sah pada pukul 1 petang, 25 September lalu.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 14 November depan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, L. Mehnagha.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker