Lelaki Pakistan ‘suap’ polis RM200 didenda RM5,000

Oleh – Syeikh Baran

Lelaki Pakistan ‘suap’ polis RM200 didenda RM5,000

Seorang pemilik kedai alat ganti kenderaan warganegara Pakistan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan rasuah sebanyak RM200 kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor di premisnya di Kuala Krai dekat sini pada Isnin lalu.



Tertuduh, Gul Siraj, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan sebanyak RM200 kepada pegawai polis untuk tidak menahan seorang pekerjanya yang juga merupakan warganegara Pakistan di sebuah premis di Kampung Tok Bok, Jalan Kuala Krai, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 9.30 pagi pada 21 Oktober lalu.

Pekerja kepada Gul Siraj didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna permit kerja.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.



Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Ermi Yasmin Abd. Momen manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Azrul Hasyimi Mohamad.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara 21 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemilik premis alat ganti kenderaan warga Pakistan ditahan selepas cuba merasuah anggota polis ketika pemeriksaan dilakukan di premisnya di Kampung Tok Bok pada Isnin lalu.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker