Curi minuman alkohol punca lelaki Pakistan ditikam pemutar skru

Oleh – Syeikh Baran

Curi minuman alkohol punca lelaki Pakistan ditikam pemutar skru

Lelaki Pakistan maut ditikam menggunakan pemutar skru di sebuah premis di Pulau Tikus, di sini kelmarin, selepas mangsa dikatakan mencuri minuman alkohol di kedai itu sebelum suspek datang memukulnya.



Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata, tindakan mangsa berusia 48 tahun itu terlebih dahulu disedari oleh pemilik premis berkenaan.

“Dalam kejadian itu, suspek utama yang kebetulan datang membeli barang di kedai itu dikatakan telah masuk campur dan memukul mangsa.

“Suspek mencapai senjata di kedai sebelah dan menikam mangsa di dada kanan sehingga parah. Mangsa dibawa rakannya ke sebuah klinik swasta di Jalan Dato Keramat sebelum disahkan maut,” katanya kepada Kosmo!, di sini hari ini.

Menurut Swee Sake, polis telah mendapatkan perintah reman terhadap suspek utama selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Empat lagi individu termasuk seorang wanita yang ditahan tengah hari semalam turut ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan,” ujarnya.



Semalam Kosmo! melaporkan, seramai 14 individu termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki Pakistan yang maut ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta, petang kelmarin.

Lapan individu termasuk seorang wanita terlebih dahulu ditahan selepas diberkas dalam satu operasi yang dijalankan sejak awal pagi semalam di sekitar lokasi premis berkenaan.

Enam lagi termasuk suspek utama pula ditahan kira-kira pukul 12.55 tengah hari semalam di kawasan Tanjong Tokong.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker