Pembantu perubatan didakwa amang seksual fizikal dua budak lelaki

Oleh – Syeikh Baran

Pembantu perubatan didakwa amang seksual fizikal dua budak lelaki

Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki, pada Februari lalu.



Tertuduh, Abdul Azam Abdul Hamid, 34, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan cara menyuruh mangsa memegang kemaluan seorang kanak-kanak lain berusia 12 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyuruh perbuatan sama dilakukan oleh kanak-kanak berusia 12 tahun terhadap mangsa sama berusia 11 tahun.

Pertuduhan ketiga, tertuduh telah menyuruh kanak-kanak sama berusia 11 tahun memegang kemaluan tertuduh dan melakukan onani.



Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat qasidah di Bukit Katil di sini, kira-kira jam 1.30 pagi, pada 3 Februari lalu.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebat bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Namun sekiranya mahkamah mengguna pakai budi bicara untuk memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.



Bagaimanapun tertuduh yang bekerja sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital dan tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan berikutan dia perlu menyara keluarganya termasuk ibu yang sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan dia dijamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan sebutan semula kes pada 18 November depan.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker