Selangor wartakan ajaran GISBH sesat

Oleh – Syeikh Baran

Selangor wartakan ajaran GISBH sesat

Fatwa ajaran dan fahaman GISB Holding Sdn. Bhd. (GISBH) dan rangkaiannya yang telah diperkenankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor, kelmarin.



Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, ini kerana ia mempunyai elemen-elemen yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari aspek akidah dan syariat.

Justeru katanya, mana-mana orang Islam di Selangor adalah dilarang dan diharamkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH serta rangkaiannya.

“Selaras dengan fatwa tersebut juga, mana-mana orang Islam yang telah menyertai, mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran dan amalan yang telah diharamkan ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

“Pihak berkuasa yang berkaitan bertanggungjawab untuk melaksanakan pemulihan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Beliau menegaskan, mana-mana individu yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Sehubungan itu, Abdul Aziz menasihatkan masyarakat Islam di negeri ini untuk menghormati dan tidak melakukan tindakan bercanggah dengan fatwa diwartakan.

“Selain itu, MAIS bersama agensi kerajaan negeri termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan dewasa.

“Pemulihan yang akan dilaksanakan merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses Istitabah dan kaunseling,” ujarnya.



Kata beliau, MAIS juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh kerajaan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya, baru-baru ini.

“Justeru, MAIS mengalu-alukan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan ini,” katanya. 

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker