Penyeludup lari tinggalkan reptilia hidup bernilai RM302,500

Oleh – Syeikh Baran

Penyeludup lari tinggalkan reptilia hidup bernilai RM302,500

Sekumpulan lelaki lari meninggalkan tiga kotak berisi haiwan reptilia iaitu ular, cicak dan kura-kura yang masih hidup bernilai RM302,500 selepas kegiatan mereka menyeludup haiwan tersebut dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, di sini semalam.



Rampasan semua haiwan itu dijalankan kira-kira pukul 6.30 pagi semasa anggota Batalion 9 PGA menjalankan rondaan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota bertugas melihat beberapa individu berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tebing Sungai Golok semasa membuat rondaan.

Menurutnya, semasa anggota PGA tiba di kawasan itu, semua suspek terus melarikan diri.

“Pemeriksaan di dalam kotak-kotak yang ditinggalkan penyeludup di kawasan itu menjumpai sebanyak lebih 70 ekor pelbagai jenis ular, lima ekor cicak jenis Spiny Tailer Monitor dan sembilan ekor kura-kura.

“Semua haiwan reptilia itu dipercayai diseludup dari Thailand dan untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.



Nik Ros Azhan memberitahu, keseluruhan rampasan haiwan itu dianggarkan bernilai RM302,500 dan ia diserahkan kepada kompeni taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor, di sini untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, PGA terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker