Daim masuk wad, hakim tangguh keputusan mohon tertuduh jalani pemeriksaan mental
Oleh – Syeikh Baran
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dimasukkan ke hospital Assunta di Petaling Jaya untuk mendapatkan rawatan petang semalam.
Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Prof Dr Gurdial Singh Nijar yang baharu dilantik mewakili Daim dan isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Menurut Gurdial, Daim tidak dapat menghadiri prosiding di Mahkamah Sesyen pada hari ini, bagaimanapun peguam tidak menjelaskan lanjut alasan mengapa anak guamnya dimasukkan ke hospital.
Seorang lagi peguam Daim, Nizamuddin Hamid menjelaskan kepada mahkamah bahawa terdapat salah faham oleh pihak pendakwaan.
Beliau berkata, pihaknya tidak meminta penangguhan kes atas alasan anak guam tidak hadir hari ini, sebaliknya memohon membuat pindaan terhadap permohonan sebelum ini, dan supaya ia dirujuk ke mahkamah tinggi.
Hari ini, Hakim Azura Alwi sepatutnya membuat keputusan berhubung permohonan pendakwaan sama ada Daim perlu menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan beliau layak dibicarakan atau sebaliknya.
Sehubungan itu, Azura menangguhkan prosiding dan menetapkan 20 November depan bagi hujahan dan seterusnya membuat keputusan.
Beliau turut memerintahkan Daim hadir pada prosiding berkenaan.
Pada prosiding lalu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata oleh kerana pembelaan sering memohon kehadiran bekas menteri itu dikecualikan pada prosiding mahkamah, pihaknya ingin membangkitkan isu undang-undang mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Ia berhubung kesihatan mental terkini tertuduh yang perlu diperiksa untuk memastikan sama ada beliau boleh memberikan arahan dan memahami pertuduhan dihadapinya.
Katanya, berdasarkan satu laporan perubatan dari Hospital Assunta yang dikemukakan kepada mahkamah, ia ada menyentuh mengenai keadaan Daim yang mengalami strok berganda yang menyebabkan pendarahan otak sejak Januari 2024.
Terdahulu pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata Daim hanya hadir sekali sahaja sejak didakwa di mahkamah pada Januari lalu dan hanya mengemukakan surat sijil sakit dengan pelbagai alasan untuk tidak hadir ke mahkamah.
Fadhly menegaskan, permohonan pendakwaan sebelum ini supaya mahkamah memerintahkan Daim dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental di hospital kerajaan adalah wajar bagi memastikan beliau layak untuk dibicarakan di mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin Hou, pula berkata menurut surat dikemukakan hari ini, Daim dimasukkan ke hospital Assunta petang semalam, namun tidak ada alasan dan tidak dinyatakan punca beliau dimasukkan ke hospital.
“Pendakwaan mempunyai alasan kuat untuk meminta laporan perubatan penuh. Kami juga memohon doktor dan jururawat yang merawat Daim datang ke mahkamah untuk beri keterangan dan penjelasan,” katanya.
Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Isterinya, Na’imah, 66, pula didakwa pada 23 Januari lalu atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Sumber – BERITA HARIAN
You must be logged in to post a comment.