Angkasawan pakai sut Prada untuk misi ke bulan

Oleh – Syeikh Baran

Angkasawan pakai sut Prada untuk misi ke bulan

Angkasawan yang menjelajah bulan sebagai sebahagian daripada misi manusia pertama Pentadbiran Aeronatik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) ke Kutub Selatan, akan memakai sut Prada.



Usaha itu di bawah kerjasama syarikat angkasa lepas swasta, Axiom Space dengan jenama mewah Itali, Prada untuk menyediakan sut permukaan dan sistem pejalan kaki untuk misi Artemis 3 NASA, yang dirancang pada September 2026.

Lapisan luar sut angkasa lepas, yang direka untuk memantulkan haba, sebahagian besarnya berwarna putih, seperti pada sut yang dipakai angkasawan Apollo yang kali terakhir berjalan di bulan lebih 50 tahun lalu.

Namun, sut itu akan mempunyai beberapa pembaharuan termasuk sentuhan warna kelabu dan beberapa jalur merah yang sama seperti dilihat pada bot Piala Amerika Luna Rossa Itali, yang turut ditaja Prada.

Presiden Axiom Space, Matt Ondlerpada pelancaran di Milan berkata, pembuatan sut itu memerlukan kejuruteraan tinggi dan keupayaan pembuatan yang hebat.



“Mereka akan pergi ke tempat dan persekitaran yang sangat berbahaya.

“Salah satu misi yang ingin dilakukan NASA ialah cuba mencari kawah air di Kutub Selatan.

“Ini adalah beberapa tempat paling sejuk di alam semesta. Jadi sut ini perlu direka dengan sangat bijak mengikut keadaan di sana,” katanya.

Menurut NASA, tanah pergunungan dan kawah dalam di Kutub Selatan bulan, matahari berlegar di bawah atau di atas ufuk sehingga mencapai suhu berbeza dari 54 darjah Celsius ke atas dalam tempoh cahaya matahari hingga – 203 darjah Celsius di kawasan berbayang.



Pengurus program pakaian angkasa Axiom, Russell Ralston berkata, sut itu bertujuan memberikan keselesaan maksimum kepada angkasawan sambil melindungi mereka daripada sinaran, tekanan luaran dan memberikan kuasa dan oksigen yang diperlukan sehingga lapan jam berjalan di bulan.

“Dengan misi yang ditetapkan untuk melihat wanita pertama di bulan, sut itu juga uniseks dan boleh disesuaikan dengan saiz berbeza.

“Kami menggabungkan kejuruteraan, sains dan seni untuk menghasilkan pakaian terbaik untuk memastikan angkasawan dapat melaksanakan tugas dan misi mereka dengan selamat serta selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Prada dan anak kepada pengasas rumah fesyen itu, Miuccia Prada, Lorenzo Bertelli berkata, reka bentuk sut itu adalah satu cabaran khusus, dari segi penebat dan menjadikannya cukup teguh untuk rupa bumi.



“Tetapi material yang digunakan adalah rahsia,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker