5 lokasi dijangka dinaiki air pasang ekstrem mulai esok

Oleh – Syeikh Baran

5 lokasi dijangka dinaiki air pasang ekstrem mulai esok

Lima lokasi di seluruh negara dijangka dinaiki air laut ekoran fenomena air pasang besar yang bermula esok hingga 20 Oktober nanti.



Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) menyatakan kawasan di sebelah barat Semenanjung Malaysia akan mengalami fenomena air pasang ekstrem.

Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk sekitar Pekan Jeti Kuala Kedah, Kedah serta Kukup International Ferry Terminal, Pontian, Johor.

“Di Selangor, kawasan yang dijangka terjejas termasuk Kampung Bagan Pasir di Tanjong Karang serta Jeti Sky Mirror di Kuala Selangor.

“Selain itu, Jeti Pulau Ketam dan Stesen KTM Pelabuhan Klang juga berada dalam senarai kawasan yang berisiko menghadapi kenaikan paras air laut,” katanya.

Jupem turut memberi amaran tanah runtuh boleh berlaku disebabkan oleh kelembapan berlebihan yang boleh melemahkan struktur tanah, menyebabkan tanah runtuh di kawasan berbukit.



“Banjir juga boleh merosakkan jalan raya, jambatan dan bangunan serta boleh menyukarkan akses dan pergerakan kepada masyarakat setempat,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada Kosmo!.

Tambahnya, fenomena air pasang ekstrem kali ini dijangka lebih teruk kerana ia berlaku serentak dengan kejadian perigee dan supermoon (bulan penuh).

“Perigee merujuk kepada titik terdekat bulan dengan Bumi dalam orbitnya, di mana bulan berada pada jarak minimum dari Bumi.

“Apabila bulan berada di perigee, tarikan graviti bulan terhadap lautan di bumi meningkat, menyebabkan paras air laut naik lebih tinggi daripada biasa,” jelasnya.



Sementara itu, orang ramai dinasihati untuk berhati-hati dan melakukan persediaan awal untuk menghadapi paras air laut yang meningkat yang berkemungkinan untuk banjir.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker