Longkang tersumbat batu, tanah punca runtuhan di Taman Melawati

Oleh – Syeikh Baran

Longkang tersumbat batu, tanah punca runtuhan di Taman Melawati

Tanah runtuh di lereng bukit Jalan E6 Taman Melawati, di sini, berpunca daripada longkang tersumbat susulan hujan lebat semalam.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, limpahan air dari longkang yang dipenuhi batu dan tanah mengakibatkan tanah gelongsor di lokasi kejadian.

“Longkang tersumbat oleh batu dan tanah hingga melimpah keluar. Jadi, limpahan itu kita jangkakan bukan hanya berlaku semalam namun akibat hujan lebat ia menjadi agak luar biasa (teruk).

“Kawasan termasuk longkang dan jalan masih lagi di bawah kawal selia pemaju ataupun pemilik tanah di atas dan kita telah mengeluarkan notis yang sewajarnya kepada pihak terbabit supaya mereka dapat mengemaskini dan juga menyelenggara tanah serta laluan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut beliau, lokasi kejadian ditutup sementara waktu kepada orang awam susulan kawasan ini popular dengan aktiviti beriadah serta larian.

“Kita telah menutup lokasi ini buat sementara sampailah laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesahkan bahawa tanah tersebut kukuh dan selamat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjangkakan semua penduduk yang mendiami tujuh daripada 20 unit kediaman di Jalan E6, Taman Melawati akan dibenarkan kembali ke kediaman mereka antara dua hingga tiga hari lagi.

“Kita jangkakan mereka akan kembali tidak lama lagi selepas keadaan di sini benar-benar disahkan selamat.

“Kita sudah memasang kanvas dan akan membina tembok penghadang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” jelasnya.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diarah tidak memandang rendah setiap laporan yang dikemukan penduduk terutamanya melibatkan kawasan berisiko tinggi.

Amirudin berkata, setiap laporan yang diterima perlu diteliti untuk tindakan susulan agar dapat dibuat dengan segera.

“Melalui laporan, kita dapat melihat sama ada tanah tersebut milik kerajaan persekutuan atau mana-mana agensi berkaitan kemudian baru beri amaran awal kepada pihak terlibat.

“Kita tidak boleh pandang rendah setiap laporan yang dibuat termasuk kawasan yg berisiko. Kalau berisiko perlu diambil tindakan sama sendiri atau mengingatkan pemilik.

“Dalam kes ini, pemilik pembangunan tersebut perlu diingatkan . Saya juga dimaklumkan penduduk, dua atau tiga bulan sudah ada laporan, sama ada laporan tu sudah sampai atau tidak harus disemak semula,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker