Ancaman bom penerbangan Air India Express, Singapura kerah jet pejuang
Oleh – Syeikh Baran
Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mengerahkan jet F-15SG pada malam semalam selepas penerbangan Air India Express menuju ke negara itu menerima ancaman bom, lapor saluran berita Channel NewsAsia.
Syarikat penerbangan tersebut menerima e-mel yang menyatakan bahawa terdapat bom di dalam pesawat AXB684 yang menuju ke Singapura, kata Menteri Pertahanan, Ng Eng Hen dalam catatan di Facebook.
Dua jet F-15SG kemudian mengiringi pesawat berkenaan dengan meninggalkan kawasan berpenduduk sebelum ia mendarat di Lapangan Terbang Changi sekitar pukul 10.04 malam (waktu tempatan). Ia berlaku lebih sejam selepas pesawat berkenaan dijadualkan mendarat.
“Sistem Pertahanan Udara Berasaskan Darat kami dan pasukan Pelupusan Ordnans Letupan juga diaktifkan.
“Sebaik mendarat, pesawat itu diserahkan kepada Polis Lapangan Terbang,” kata Eng Hen sambil menambah, siasatan sedang dijalankan.
Sebagai jawapan kepada pertanyaan daripada CNA, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata, ia telah dimaklumkan mengenai ancaman bom pada kira-kira pukul 8.25 malam (waktu tempatan).
“Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi pada kira-kira pukul 10.04 malam (waktu tempatan) sambil diiringi pesawat pejuang RSAF.
“Polis menyelesaikan pemeriksaan keselamatan selepas itu. Tiada sebarang ancaman ditemui,” kata SPF.
“Polis memandang serius ancaman keselamatan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang sengaja menimbulkan kebimbangan awam,” tambahnya.
Penerbangan AXB684 berlepas dari Madurai, India sekitar pukul 1.54 tengah hari (waktu tempatan) dan sepatutnya mendarat di Singapura pada pukul 8.50 malam (waktu tempatan), demikian menurut laman web pengesanan penerbangan, Flightradar24.
Insiden itu adalah salah satu daripada beberapa penerbangan dari India yang terganggu pada kelmarin dan semalam akibat ancaman bom, lapor media India. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.