Pegawai kanan polis antara tujuh ditahan kes pemerasan, cabul

Oleh – Syeikh Baran

Pegawai kanan polis antara tujuh ditahan kes pemerasan, cabul

Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) bersama enam anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ditahan berkaitan kes pemerasan dan cabul melibatkan seorang wanita, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian melibatkan mangsa berusia 22 tahun itu didakwa berlaku di Cheras pada 1 Oktober lalu.

Katanya, tangkapan awal dibuat membabitkan tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Tindakan diteruskan dengan tangkapan tujuh individu yang terdiri daripada seorang pegawai kanan berpangkat ASP dan enam anggota polis.

“Kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bagi siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di sempena program Hari Sukan Negara 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Kata Rusdi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku anggota dan akan melakukan siasatan terperinci.

“Ada dakwaan mengatakan polis lewat mengambil tindakan susulan kejadian, perlu faham, sebarang tindakan dijalankan perlukan semakan dan siasatan yang teliti.

“Ini termasuk melibatkan semakan berkaitan terdapat transaksi yang dilakukan, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) serta mangsa juga difahamkan lewat membuat laporan.

“Kesemua ini perlukan siasatan terperinci sebelum sebarang tindakan diambil,” ujarnya.

Tambah beliau, tiada rampasan dibuat ketika ini dan siasatan diteruskan dengan meneliti pindahan wang dilakukan mangsa secara dalam talian.

Terdahulu, tular di aplikasi Telegram seorang wanita mendakwa menjadi mangsa pemerasan dan cabul sekumpulan individu dalam serbuan di unit sebuah kondominium di Cheras.

Wanita tersebut mendakwa diugut sekumpulan anggota polis yang meminta wang sebanyak RM150,000 sebelum dikurangkan kepada RM90,000 selepas menemui dadah di dalam pemilikan individu berkenaan.

Bagaimanapun, wanita terbabit dipercayai dibebaskan selepas seorang lelaki tempatan membantu membuat pembayaran sebanyak RM10,000.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker