Saya tidak bersalah dalam jenayah kejam ini – Najib
Oleh – Syeikh Baran
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa beliau langsung tidak mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Beliau turut menyatakan, tidak pernah mengarahkan bekas anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) , Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar untuk membunuh wanita tersebut.
Pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Khadijah Idris tersebut, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan bahawa beliau tidak bersalah atas jenayah kejam dengan Altantuya ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan terpencil berhampiran Empangan Subang di Puncak Alam, Shah Alam pada 2006.
Najib sebelum ini menyaman bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung memoirnya bertajuk My Story: Justice In The Wilderness mengenai kenyataan fitnah yang dibuat dalam buku yang didakwa mengaitkannya dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu dalam bab 42.
Najib juga telah menamakan syarikat penerbitan buku GB Gerak Budaya Enterprise Sdn Bhd.
Thomas dan Gerak Budaya diwakili peguam Alan Adrian Gomez dan Datuk Ambiga Sreenevasan.
Pada prosiding tersebut juga, Najib menegaskan bahawa Thomas tidak pernah menunjukkan kepadanya kandungan bab 42 sebelum ia diterbitkan dalam buku berkenaan.
Tegasnya, adalah tidak benar bahawa beliau kononnya mendalangi pembunuhan Altantuya walaupun terdapat banyak artikel yang digunakan oleh Thomas dan Gerakan Budaya untuk mengaitkannya dengan jenayah itu.
Untuk rekod, Najib sebelum ini pernah membuat sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru pada 2019 menafikan dakwaan Azilah Hadri berhubung pembabitan beliau dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Dalam pada itu, Najib menyatakan mengenali Datuk Abdul Razak Baginda sebagai penganalisis pertahanan dan terlibat dalam perjanjian membeli kapal selam.
“Saya hanya mendapat tahu daripada laporan media bahawa Razak Baginda kononnya adalah seorang jurubahasa. Saya tidak tahu apa hubungan Razak Baginda dan Altantuya. Namun, saya tahu akhirnya mereka mempunyai hubungan yang romantis,” katanya.
Prosiding perbicaraan akan disambung semula pada 30 Jun tahun depan.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.