Mengaku beri suapan, pemilik restoran nasi kandar didenda RM30,000

Oleh – Syeikh Baran

Mengaku beri suapan, pemilik restoran nasi kandar didenda RM30,000

Pemilik sebuah restoran nasi kandar dikenakan hukuman denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memberi rasuah kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).



Hakim Datuk Ibrahim Osman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Rezaul Shajahan Ali, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Tertuduh turut berhadapan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM10,000 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, lelaki warga Bangladesh itu didakwa memberi suatu suapan wang tunai RM10,000 kepada pegawai Imigresen di Pejabat JIM Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Persiaran Meru Utama di sini, pada pukul 3.30 petang, 12 September 2024.



Wang itu adalah sebagai balasan untuk pegawai Imigresen berkenaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 13 pekerja yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Bagi kesalahan itu, bapa kepada lima anak itu dituduh mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang boleh dijatuhi hukuman penjara tidak sampai 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Sharul Azuan Ghazali dan Mohd. Afiq Adnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker