Dua lelaki termasuk kontraktor disambung reman kes bunuh Sabari
Oleh – Syeikh Baran
Dua lelaki termasuk seorang kontraktor direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh
pesara Felcra, Sabari Baharom.
Perintah reman ke atas suspek berusia 26 dan 38 tahun yang bermula hari ini itu dikeluarkan Majistret, Anis Suraya Ahmad di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mereka sebelum ini direman bagi kes kereta Proton Waja milik Sabari yang dibakar dan ditemui dekat Hutan Gubir, Sik dekat sini. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, kedua-dua suspek dibawa menggunakan kenderaan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada pukul 9.48 pagi tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh kemudian mengesahkan pihaknya menahan dua suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan kehilangan bapa kepada tiga anak itu pada 27 September lalu.
Menurut Fisol, suspek mengaku mencampakkan mangsa ke Sungai Padang Terap di Jitra dengan tangan mangsa diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Operasi pencarian dilakukan di sepanjang sungai selama tiga hari, namun polis memutuskan untuk menghentikan operasi pada 3 Oktober berikutan tidak menemui sebarang petunjuk.
Sumber – KOSMO! ONLINE