Bersundal RM50 dalam rumah kedai usang
Oleh – Syeikh Baran
Kegiatan persundalan pelacur warga asing di rumah kedai usang di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini digempur pihak berkuasa hari ini.
Aktiviti tidak bermoral dengan harga serendah RM50 itu dilakukan pelacur tersebut di premis yang mempunyai lebih tiga bilik sejak dua tahun lalu.
Dalam operasi selama dua jam bermula pukul 12. 30 tengah hari berjaya menahan 58 termasuk 30 wanita disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 24 hingga 60 tahun.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama tiga bulan terhadap aktiviti persundalan berkenaan dengan turut menyasarkan pelanggan warga asing.
Katanya, semasa serbuan didapati ada segelintir warga asing cuba melarikan diri dengan bersembunyi di dalam bilik, tandas, stor.
“Kita turut berjaya mengesan sebuah kedai telekomunikasi yang telah diubahsuai di bahagian belakangnya menjadi bilik bagi aktiviti itu.
“Harga bagi perkhidmatan adalah antara RM50 hingga RM100 bagi setiap pelanggan bergantung kepada perkhidmatan yang mereka tawarkan.
“Kalau pelanggan kurang, tawar-menawar lagi banyak berlaku dengan menyasarkan warga asing yang tinggal di kawasan berhampiran,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian.
Beliau memberitahu, siasatan turut mendapati setiap bilik yang dihuni atau disewa pelacur warga asing adalah antara RM500 hingga RM600.
Tambah Jafri, sepanjang operasi tersebut sebanyak 20 buah rumah yang dipercayai sarang pelacuran diserbu pihaknya.
Berdasarkan risikan sebelum ini terdapat sehingga 40 wanita warga asing yang terlibat khidmat seks ini.
“Hari ini, secara pecahan PATI yang ditahan melibatkan Indonesia dengan 31 orang diikuti Bangladesh (16), India (8) dan masing-masing seorang bagi Pakistan dan stateless (tidak mempunyai kewarganegaraan).
“Kesemua melibatkan 28 lelaki dan 30 wanita yang melakukan kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan dibawah Seksyen 55E dan Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen dengan membenarkan PATI tinggal dalam premis dan melindungi migran haram, ” katanya.
Kesemua mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Pekan Nanas Johor.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! mendapati persekitaran dalaman bilik pelacuran tersebut berbau susulan ketiadaan pengudaraan selain dipenuhi kondom dan minyak pelincir.
Malah, ada tiga rumah saling berhubungan dengan mempunyai tingkap di bahagian hujung rumah bagi melarikan diri.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.