Ibu rayu selamatkan anak gadis jadi mangsa sindiket di Myanmar

Oleh – Syeikh Baran

Ibu rayu selamatkan anak gadis jadi mangsa sindiket di Myanmar

Ibu kepada seorang gadis berumur 17 tahun merayu kepada pihak berkuasa agar dapat membantu menyelamatkan anak perempuannya, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar sejak tahun lepas.

Wanita yang dikenali sebagai Risdawati, 42, berkata, beliau berjaya menghubungi anak sulungnya itu dan diberitahu perlu membayar wang tunai AS$10,000 (RM42,000), kononnya bagi menampung kos membawa pulang.

Risdawati yang menetap di Pulau Pinang berkata, anaknya telah dijanjikan pekerjaan secara kontrak selama setahun dengan sebuah syarikat di Myanmar dan dimaklumkan akan dibenarkan pulang selepas tamat tempoh kontrak berkenaan.

“Namun selepas kontrak tamat, anak kami tidak dibenarkan pulang. Syarikat itu menipu dan mengugut kami,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim.

Risdawati berkata, anaknya pernah menyuarakan hasrat untuk bekerja di Singapura setelah tamat persekolahan, namun dihalang bapanya yang bimbang akan keselamatan anak mereka yang masih muda.

“Dia bagaimanapun dibenarkan untuk bekerja di Johor pada pertengahan tahun lepas dan tinggal bersama ibu saudaranya selama lebih kurang dua minggu sebelum kami terputus hubungan dan dipercayai telah dibawa ke Myanmar menggunakan jalan tikus dari Thailand,” katanya.

Risdawati berkata, dua laporan polis telah dibuat iaitu pada 25 Okt 2023 dan 25 Sept lepas dan berharap pihak berkuasa dapat campur tangan untuk menyelamatkan serta membawa pulang anaknya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya sedang giat berusaha menyelamatkan mangsa berdasarkan undang-undang.

Keluarga mangsa juga dinasihatkan supaya tidak membayar apa-apa wang tebusan, serta mengelakkan daripada kerap menghubungi anak mereka bagi mengurangkan risiko terhadap keselamatan mangsa. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker