Tak sempat jual pokok orkid seludup RM2.1 juta

Oleh – Syeikh Baran

Tak sempat jual pokok orkid seludup RM2.1 juta

Seorang pemandu lori tidak sempat menghantar sebanyak 40,000 pokok orkid bernilai RM2.1 juta dipercayai diseludup dari Thailand selepas kenderaan dipandunya ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Chabang Empat Salam Rantau Panjang, di sini kelmarin.

Rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 pagi selepas anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan sebuah lori jenis Isuzu.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, lori tersebut dilihat dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa anggota PGA menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di sini.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap lori dipandu lelaki berusia 52 tahun itu kemudian menjumpai 40,000 pokok orkid yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta.

“Siasatan mendapati, kesemua tumbuhan di dalam kenderaan tersebut tiada dokumen yang sah.

“Pemandu lori tersebut dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup pokok orkid tersebut ke pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barangan rampasan diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang di sini untuk disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

Tambahnya, PGA akan terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di kawasan sempadan negara.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker