Sebutan semula kes bunuh Farah Kartini 10 Disember depan

Oleh – Syeikh Baran

Sebutan semula kes bunuh Farah Kartini 10 Disember depan

Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menetapkan 10 Disember depan untuk sebutan semula kes Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.



Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Williams-Hunt memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan kimia dan laporan bedah siasat masih belum diperoleh.

“Saya mohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes,” katanya.

Peguam Nur Aida Zainuddin yang mewakili tertuduh tidak membantah, namun memohon tarikh sebutan yang lebih lama.

Turut hadir, tiga peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa iaitu Mohd Norazihan Adnan, Luqman Hakim Azhar dan Goh Chee Kian.



Pada 26 Julai lalu, Muhammad Alif, 26, didakwa atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini, 25, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ladang kelapa sawit SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam, antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lalu.

Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayatnya ditemukan kira-kira 6 petang pada 15 Julai lalu.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker