Pengantin perempuan diikat pada tiang telefon, gurauan cetus kemarahan

Oleh – Syeikh Baran

Pengantin perempuan diikat pada tiang telefon, gurauan cetus kemarahan

Rakaman gambar mengejutkan apabila menunjukkan seorang pengantin perempuan di China diikat pada tiang telefon oleh rakannya sebagai gurauan sehingga mencetuskan perdebatan dalam talian mengenai tradisi perkahwinan yang dianggap kasar.



South China Morning Post (SCMP) melaporkan pada 23 September, video tular dari wilayah Shanxi di utara China, menunjukkan beberapa lelaki mengikat pengantin perempuan dalam pakaian perkahwinan tradisional Cina pada tiang telefon dengan pita.

Dia menjerit meminta tolong dan cuba melarikan diri, tetapi tiada siapa yang campur tangan.

Seorang rakan pengantin lelaki, bernama Yang, memberitahu Fengmian News bahawa lelaki itu adalah rakannya ketika kecil.

Yang menambah bahawa ‘permainan’ itu sudah dipersetujui oleh pasangan pengantin terlebih dahulu.



“Membuat sedikit adegan di majlis perkahwinan adalah adat tempatan kami, semuanya dalam kalangan kawan baik. Tidak ada sebarang kecederaan,” katanya.

Yang menambah bahawa pengantin lelaki hadir ketika kejadian dan mereka semua menjaga keselamatan pengantin perempuan.

Dia meminta orang ramai supaya tidak salah faham situasi itu.

Bagaimanapun, kejadian itu mencetuskan kemarahan dan kecaman di media sosial di tanah besar China.



Seorang pengguna Douyin berkata: “Membina kegembiraan anda di atas penderitaan orang lain adalah benar-benar menjijikkan.”

Seorang lagi berkata: “Jika sesuatu berlaku kepada pengantin perempuan, siapa yang akan bertanggungjawab?”

“Adat perkahwinan yang kasar ini adalah peninggalan zaman dahulu. Tiada alasan untuk menyakiti orang lain,” tambah yang lain.

Pada 24 September, kerajaan tempatan mengeluarkan kenyataan supaya Yang dan lain-lain yang terbabit dalam insiden itu memohon maaf atas tindakan mereka.



Kenyataan itu juga berkata, kerajaan akan memperkukuh usaha mempromosikan adat perkahwinan yang beradab dan menggalakkan rakyat meninggalkan amalan lapuk.

Dalam perkahwinan tradisional Cina, hun nao, atau ‘perkahwinan hazing’ bertujuan untuk mewujudkan suasana perayaan dan meredakan ketegangan pasangan.

Berasal berabad-abad yang lalu, adat itu membabitkan keluarga dan rakan menggunakan ketawa untuk menghalau roh jahat.

Bagaimanapun, pada masa ini ia bertukar menjadi jenaka kasar dan permainan yang tidak sesuai.



Seorang perancang perkahwinan dari Wuhan, yang tidak mahu dikenali, memberitahu bahawa pada beberapa majlis perkahwinan dia melihat tetamu mengikat pisang atau timun kepada pengantin lelaki untuk digigit pengantin perempuan, atau lelaki yang dibogelkan untuk bergambar dengan pengantin perempuan.

Insiden perkahwinan yang kejam bukan perkara luar biasa di China.

Pada Disember 2016, tiga lelaki di barat daya China mengikat pengantin lelaki menyebabkan kecederaan hilang upaya kekal.

Tiga lelaki itu kemudian diperintahkan mahkamah supaya membayar lebih 100,000 yuan (kira-kira RM60,902) sebagai pampasan ganti rugi kepada mangsa.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker