Mahkamah keluar waran tangkap buat ‘Hot Daddy’, dua kenalan wanita
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ dan dua kenalan wanitanya kerana gagal hadir pada prosiding kes jenayah yang dihadapi mereka.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin mengeluarkan waran tangkap itu terhadap Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, Norshazrina Md Zamri, 27, dan Norhidayah Mahadi, 24, yang didakwa merakam dan menjual aksi hubungan intim melalui aplikasi X.
Beliau membuat perintah itu selepas ketiga-tiga mereka tidak kelihatan di mahkamah walaupun nama dipanggil berulang kali ketika prosiding bermula pada jam 9 pagi, yang kemudian ditangguhkan kepada jam 11 pagi untuk memberi peluang kepada mereka hadir.
Bagaimanapun sehingga jam 11 pagi apabila ketiga-tiga mereka dan juga penjamin masih tidak muncul, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap kesemua tertuduh.
Di mahkamah berasingan, Hakim Suzana Hussin turut mengeluarkan waran tangkap sama terhadap Norshazrina yang didakwa memiliki bahan lucah.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 8 November ini.
Selepas prosiding, peguam Muhammad Faris Abrar Othman memberitahu wartawan bahawa beliau sudah menghubungi anak guamnya, semalam, bagi memaklumkan prosiding mahkamah yang berlangsung hari ini.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak dapat dihubungi dan tidak menjawab panggilan telefon.
“Saya menghubungi mereka semula hari ini tetapi mereka tidak dapat dihubungi. Ada nada dering tetapi tidak dijawab,” katanya.
Pada 26 Januari lalu, ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan kerana mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Sumber – HARIAN METRO
You must be logged in to post a comment.