Bekas jurujual didakwa pecah amanah RM150,300
Oleh – Syeikh Baran
Bekas jurujual kedai motosikal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 16 pertuduhan pecah amanah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM150,300, antara 3 April tahun lalu hingga 30 Jun lalu.
Tertuduh, Zuehardy Mustapa, 41, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah iaitu menjadikan harta itu bagi kegunaan sendiri yang bernilai antara RM1,000 hingga RM48,700 dengan jumlah keseluruhan RM150,300.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dua bank di sekitar bandar ini antara 3 April 2023 sehingga 30 Jun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Alini Ahamad Kamil.
Terdahulu, Kamarul Hasyime menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, Nur Alini merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu memandangkan anak guamnya sudah berhenti kerja dan menanggung isteri serta dua anak.
Katanya, tertuduh juga mengalami kecederaan pada kaki dan sepatutnya mendapatkan rawatan fisioterapi, namun tidak mampu dari segi kewangan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 6 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber – HARIAN METRO