Pencuri motosikal pukul polis dengan spanar ketika lari sekatan jalan
Oleh – Syeikh Baran
Takut kegiatan mencuri motosikal yang dilakukannya terbongkar, seorang lelaki bertindak menendang dan memukul anggota polis dengan spanar selepas tertangkap semasa melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Simpang Empat Repek, di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 malam itu, suspek yang berusia 24 tahun bagaimanapun berjaya dicekup selepas anggota polis mengejar motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya sejauh dua kilometer.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, anggota polis melihat sebuah motosikal jenis Honda EX5 membuat pusingan untuk melarikan diri semasa bertugas di SJR Simpang Empat Repek.
Menurutnya, dua anggota unit rondaan bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok bertindak mengejar motosikal tersebut sejauh dua kilometer sehingga lelaki itu terbabas ke dalam kawasan semak di kawasan Kampung Hujung Repek.
“Anggota polis terus melakukan tangkapan, namun berlaku pergelutan apabila lelaki itu bertindak menendang dan menggunakan spanar untuk mencederakan lengan serta paha salah seorang anggota.
“Suspek kemudian berjaya ditahan dan spanar yang digunakan untuk mencederakan anggota polis turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, semakan mendapati, nombor casis motosikal ditunggang suspek merupakan motosikal yang dilaporkan hilang berkait laporan polis di Kuala Besut, Terengganu.
Menurutnya, lelaki itu juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa tangkapan dijalankan.
“Semakan mendapati, suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah,” ujarnya.
Tambah Mohamad Ismail, lelaki itu direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186, Seksyen 353, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.