Lebih separuh kapal TLDM lepasi had penggunaan, usia perkhidmatan
Oleh – Syeikh Baran
Lebih separuh kapal pelbagai kelas perkhidmatan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melebihi had penggunaan optimum serta melepasi usia perkhidmatan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, daripada jumlah itu, 34 buah telah melepasi had umur penggunaan dan 28 buah telah melebihi 40 tahun usia perkhidmatan.
Beliau berkata, penggunaan aset melebihi tempoh had dan usia perkhidmatan itu akan menjejaskan keupayaan termasuk teknologi sekali gus meningkatkan kos penyelenggaraannya.
“Bagi kapal kecil seperti kapal ronda, laju, peperangan periuk api, kapal layar dan bot tunda, had umurnya adalah 24 tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Segenting di sini hari ini.
Justeru katanya, keperluan mendesak untuk menggantikan kapal yang usang serta tidak berada pada keupayaan sebenar adalah amat bertepatan.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya dalam perancangan untuk menggantikan Helikopter Super Lynx yang beroperasi lebih 20 tahun dan dijangka akan beroperasi sehingga 2026.
“Keperluan penggantian helikopter tempur maritim ini adalah kritikal dan kini TLDM sedang menilai beberapa opsyen helikopter tempur maritim yang sesuai bagi menggantikan Super Lynx.
“Ia dilakukan menerusi program perolehan helikopter anti submarine warfare (ASW) yang telah didaftarkan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Sumber – KOSMO! ONLINE